Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam diutus kepada umat manusia dengan membawa dakwah rabbaniyah dan tidak mempunyai kepentingan terhadap duniawi, tidak pernah dianugerahi gudang harta dan hamparan kebun buah yang luas dan tidak pula tinggal di istana yang megah perkasa. Namun demikian, ramai orang yang mencintai beliau bersumpah setia mengikuti ajaran yang dibawanya. Dan mereka tetap teguh memegang janji meskipun menghadapi pelbagai kesulitan dan ancaman. Pada saat itu, mereka adalah golongan minoriti, dan termasuk golongan yang tersingkir, belum lagi berbagai ancaman yang selalu mengintai dari kalangan orang-orang yang berada disekelilingnya. Akan tetapi, mereka tetap setia dan mencintai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam dan para sahabat pada ketika itu diboikot oleh masyarakatnya, ekonomi disekat, kehormatan mereka dihina, dimusuhi oleh kaum kerabat mereka sendiri dan mereka disakiti oleh masyarakatnya. Meskipun demikian, kecintaan mereka terhadap Muhammad tidak pernah goyah sejengkal pun.
Di antara mereka, ada yang pernah dijemur di tengah padang pasir yang panas, dikurung dalam penjara bawah tanah, dan diseksa dengan berbagai seksaan. Namun demikian, mereka tetap mencintai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Segala yang mereka punyai seperti tempat tinggal, pekerjaan, keluarga dan harta telah dirampas. Mereka diusir dari tempat permainan mereka semasa kecil, tempat bergurau-senda semasa muda dan tempat keluarga mereka bersenandung mencurahkan kasih sayang. Meskipun demikian, ternyata mereka tetap mencintai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Kaum mukminin seringkali diseksa kerana dakwah yang mereka sampaikan. Jiwa mereka digoncang keras hingga hati mereka seakan naik ke tenggorokan, dari kerana sangat kerasnya cubaan yang menimpa mereka. Namun, kerana tetap berprasangka baik terhadap Allah, maka mereka pun tetap sangat mencintai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Naungan pedang bagai rendang dedaunan
Di sekitarnya bunga tumbuh menghijau.
Pada masa itu setiap pemuda bersiap-sedia berangkat ke medan perang dengan gagah berani. Mereka pergi mendatangi kematian laksana sebuah temasya atau pesta di malam hari raya. Semuanya itu, adalah didorong oleh rasa kecintaan terhadap Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Seorang sahabat pernah diutus untuk membawa sepucuk surat masuk ke kawasan musuh, padahal sahabat itu sedar tentang risikonya bahawa kemungkinan dirinya tidak dapat kembali lagi ke dunia. Namun, dia tetap melakukan tugas tersebut. Terdapat pula seorang sahabat yang ketika diminta menjalankan suatu tugas, dia menyedari bahawa tugas itu adalah tugasnya yang terakhir. Namun dia tetap pergi dengan sukacitanya menjalankan tugas tersebut. Semua perkara yang mereka lakukan itu adalah kerana kecintaan mereka yang besar terhadap Nabi Muhammad Shallallahu ‘alaihi wasallam.
Akan tetapi, mengapa mereka begitu mencintai Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dan menyukai dengan risalah yang baginda bawa, merasa tenteram dengan manhajnya, sangat gembira menyambut kedatangannya, dan mampu melupakan semua kesakitan, kesulitan, tentangan dan ancaman demi pengikutnya?
Semuanya itu adalah kerana mereka dapat melihat pada diri Nabi Muhammad terdapat semua makna kebaikan dan kebahagiaan, dan juga tanda-tanda kebajikan serta kebenaran. Baginda adalah petunjuk jalan bagi siapa sahaja yang menghadapi pelbagai masalah besar. Bahkan, sentuhan kelembutan adalah kasih-sayangnya, mampu memadamkan semua gejolak hati mereka, tutur katanya mampu menyejukkan dada siapa sahaja, dan dengan risalahnya mampu menghangatkan roh mereka.
Sesungguhnya Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam telah berjaya menuangkan sifat keredhaan ke dalam jiwa setiap sahabatnya. Maka tidak mustahil apabila mereka tidak lagi memperhitungkan kesakitan yang mereka hadapi dalam menyampaikan dakwah. Dalam diri mereka telah dipancarkan keyakinan akan keagungan Islam, sehingga mereka melupakan setiap kelukaan, tekanan dan kesengsaraan itu.
Baginda berjaya meluruskan hati nurani mereka dengan tuntutannya, menyinari mata hati mereka dengan cahayanya, menyingkirkan unsur-unsur jahiliyyah dari leher mereka, pelana berhala telah turun dari punggung mereka, menanggalkan semua kalung kemusyrikan dari leher mereka, dan memadamkan semua api kedengkian dan permusuhan dari roh-roh mereka. Dan beliau juga berjaya menuangkan air keyakinan kedalam perasan mereka, sehingga jiwa rga mereka menjadi tenteram, badan mereka terasa nyaman, hati mereke terasa tenang, dan otot-otot saraf mereka terasa rileks.
“Dan, tidaklah Kami utuskan kamu kecuali menjadi rahmat bagi semesta alam.” (Al-Anbiya’: 107)
“…dan sesungguhnya kamu benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus. (Asy-Syura: 52)
“… dan (dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap-gelita kepada cahaya…” (Al-Ma’idah: 16)
“Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayatNya kepada mereka Kitab dan Hikmah (As-Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.” (Al-Jumu’ah: 2)
“…dan membunag mereka dari beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada mereka…” (Al-A’raf: 157)
“…penuhilah seruan Allah dan seruan Rasul apabila Rasul menyeru kamu kepada suatu yang memberi kehidupan kepada kamu…” (Al-Anfal: 24)
“… dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu darinya…” (Ali-‘Imran: 103)
Sesungguhnya mereka benar-benar telah merasai kebahagiaan sejati ketika bersama pemimpin dan suri tauladan mereka. Maka dari itu, mereka berhak berbahagia dan bergembira.
Wahai malam yang menakutkan
mengapa engkau tidak kembali lagi.
Masamu telah berlalu
dan telah menjadi masa lalu.
Ya Allah, limpahkanlah selawat dan salam kepada si pembebas akal manusia dari belenggu-belenggu penyimpangan, dan si penyelamat jiwa dari malapetaka kesesatan. Kurniakanlah redhaMu kepada para sahabat yang mulia sebagai ganjaran atas apa yang mereka perjuangkan.