ISLAM sebagaimana yang difahami adalah gaya hidup lengkap dengan pelbagai panduan yang mencorakkan kesempurnaan ajarannya. Oleh itu, umat Islam tidak akan teraba-raba dalam mengharungi alam ini dalam keadaan yang tidak pasti atau keraguan. Ini termasuk isu berkaitan seksualiti yang juga aspek kehidupan yang amat peribadi bagi seseorang. Islam sentiasa cuba memberi panduan untuk mereka, termasuk remaja agar tidak timbul rasa bersalah pada kemudian hari. Remaja adalah kelompok masyarakat yang amat besar nilainya bagi umat Islam. Mereka adalah bakal pemimpin dan pendakwah yang akan meneruskan kesinambungan masyarakat dan tamadun bangsa mereka. Sebagai pemimpin dan pembela akan datang, mereka wajar dibela dan dipelihara sebaik mungkin. Di samping menyediakan suasana yang mampu meningkatkan potensi perkembangan dan kecemerlangan diri, remaja perlu dididik dan ditunjuk ajar pelbagai perkara baik. Era globalisasi, mendedahkan remaja dengan pelbagai gaya hidup dan persekitaran yang amat luas dan mencabar. Cabaran dan dugaan ini tidak terhad, termasuk kegiatan kehidupan peribadi mereka yang berkaitan seksualiti. Ini adalah satu isu kerana remaja zaman ini, lebih terdedah dengan kesan berkaitan kegiatan seksual. Pada asasnya, kegiatan seksual remaja berlaku akibat gaya hidup bersosial yang terlalu bebas dan tiada had. Kajian klinikal di Amerika Syarikat, mendapati bahawa remaja dan belia yang berusia di antara 17 dan 30 tahun adalah golongan yang paling ramai dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks. Perkembangan ini dijangka berterusan kerana remaja adalah golongan yang paling aktif dan seterusnya menjadikan mereka sebagai kumpulan paling berisiko tinggi dijangkiti penyakit kelamin. Selagi perubahan gaya hidup sihat tidak diamalkan, remaja akan terus menjadi kumpulan utama dijangkiti pelbagai penyakit jangkitan seks dan paling ramai menyebarkan penyakit jangkitan seks dalam masyarakat. Gaya hidup sihat adalah gaya hidup yang mengutamakan amalan kesihatan dan pencegahan jangkitan penyakit. Perkembangan semasa menunjukkan bahawa kebanyakan penyakit berbahaya disebabkan amalan gaya hidup yang tidak sihat. Malah, kebanyakan jangkitan oleh bakteria, virus dan kulat juga disebarkan oleh kegiatan gaya hidup yang tidak sihat ini. Contohnya, penyalahgunaan dadah boleh menyebarkan virus HIV yang menyebabkan penyakit Aids. Ketagihan alkohol pula boleh menyebabkan penyakit kongenital, sindrom otak organik dan sebagainya. Perlakuan seks bebas boleh menyebabkan jangkitan penyakit kelamin seperti sifilis, gonorea dan sebagainya. Gaya pemakanan yang tidak seimbang pula boleh menyebabkan penyakit kardiovaskular, kegemukan, kencing manis, darah tinggi dan sebagainya. Di seluruh dunia, amalan seks bebas dan tidak sihat menjadi punca utama pelbagai penyakit jangkitan seks seperti disebutkan di atas. Perkara ini akan berterusan dan akan menjadi bertambah buruk, melainkan amalan gaya hidup sihat menjadi teras kehidupan. Islam sememangnya menyediakan garis panduan sebagai asas kepada amalan gaya hidup sihat ini, terutama dalam mencegah penyakit jangkitan kelamin. Ini ditegaskan dalam firman-Nya bermaksud : “Janganlah kamu hampiri zina, kerana ia adalah seburuk-buruk perbuatan, yang membawa kepada kejahatan.” (Surah al-Israa’, ayat 32). Dalam ayat itu, Allah dengan tegas memerintahkan umat Islam supaya menjauhkan diri daripada perzinaan, apatah lagi melakukannya. Ayat ini juga melarang manusia mendekati sebarang punca yang boleh membawa kepada zina. Mereka ditegah sama sekali membabitkan diri dengan perkara yang boleh mencetuskan zina seperti menonton filem atau membaca majalah lucah, bercerita mengenai perkara lucah, menjual atau membeli barangan berunsur lucah, bercampur gaul dengan bebas di antara lelaki dan perempuan dan memberi isyarat berunsur seks. Pendekatan yang diberikan Islam ini lebih bersifat ‘behavioristic’ dan praktikal serta menjurus kepada kaedah pencegahan. Ia menuntut agar umat manusia tidak membiarkan diri mereka terjebak ke kancah perzinaan dan kemaksiatan. Perbuatan itu jika berlaku akan membawa kepada pelbagai kesan buruk yang mungkin membabitkan perbelanjaan, usaha dan tenaga banyak bagi tujuan rawatan dan perubatan. Malah, kadang kala nyawa pula menjadi pertaruhannya. Remaja sebagai kelompok yang kurang matang (walaupun waras) sering gagal menilai kesan itu. Apa yang terlintas pada fikiran mereka hanya keseronokan tanpa menilai risiko dan kerugian yang akan dialami. Fikirlah, apakah mereka sekadar ingin menikmati keseronokan sementara sifatnya, tetapi akhirnya terpaksa menanggung kerugian dari segi kewangan, kesihatan dan mungkin nyawa. Amalkan gaya hidup sihat sebagaimana yang diajar oleh Islam. |