Tersenyumlah


Tertawa sewajarnya merupakan ubat kecemasan dan penglipur kesedihan. Dalam senyuman terdapat kekuatan yang menakjubkan dalam membuat jiwa bergembira dan menyenangkan hati. Bahkan, kerana itu Abu Darda’ Radhiyallaahu ‘anhu sempat berkata: “Sesungguhnya aku akan tertawa untuk membahagiakan hatiku.” Dan Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri sesekali akan tertawa hingga tampak gerahamnya. Begitulah tertawanya orang-orang yang berakal dan cerdas yang membawa akibat positif bagi jiwa dan menjadi penawar bagi hati yang resah.

Tertawa adalah merupakan puncak kegembiraan, keceriaan dan keriangan asalkan yang demikian itu adalah tertawa yang tidak berlebihan dan tidak dimaksudkan dengan mengejek atau mencemuh sebagaimana dikatakan dalam pepatah:

“Janganlah terlalu banyak tertawa, kerana terlalu banyak tertawa akan mematikan hati.”

Yakni; tertawalah sewajarnya saja sebagaimana dikatakan juga dalam pepatah yang berbunyi:

“Senyummu kala bertemu saudara bernilai sedekah.”

Bahkan, tertawalah sebagaimana Nabi Sulaiman ‘Alaihissalam:

“…ia tertawa kerana (mendengar) perkataan semut itu.” (An-Naml: 19)

Dan janganlah ketawa sinis dan sombong sebagaimana dilakukan orang-orang kafir.

“Tatkala dia datang kepada mereka dengan membawa mukjizat-mukjizat Kami dengan serta-merta mereka mentertawakannya.” (Az-Zukhruf: 47)

Dan salah satu nikmat Allah yang diberikan kepada penghuni syurga adalah tertawa.

“Maka pada hari ini orang-orang yang beriman mentertawakan orang-orang kafir.” (Al-Muthaffifin: 34)

Orang Arab suka memuji orang yang murah dengan senyuman dan selalu tampak ceria. Menurut mereka, perangai yang demikian itu merupakan pertanda kelapangan dada, kedermawanan, kemurahan hati , kemuliaan dan kesejukan hati.

Tertawa renyah
Terasa menyenangkan lagi dermawan
dan akan lebih menyenangkan
jika ditujukan kepada peminta

Dalam kitab Harim, Zuhair bersyair:
Kau akan melihat sendiri kecerian wajahnya
jika kau bertemu dengannya.
Seolah kau memberikan kepadanya sesuatu
yang kau sendiri memerlukannya.

Pada dasarnya, Islam sendiri dibangunkan atas dasar keseimbangan dan keadilan, baik dalam hal akidah, ibadah, akhlak mahupun tingkah-laku. Oleh kerana itu, Islam tidak mengenal kemuraman yang menakutkan orang yang melihatnya, dan ketawa yang terbahak-bahak. Akan tetapi sebaliknya, Islam sentiasa mengajar supaya menampilkan wajah yang tenang, selalu berseri dan enak dipandang sehingga menyenangkan orang yang memandang.

Abu Tamam mengatakan:

Jiwaku menjadi penebus Abu Ali.
Dialah fajar harapan dan bintang renungan.
Kejenakaannya mampu membangkitkan semangat.
Bahkan terkadang dia mampu membuat orang
yang sebelumnya tidak pernah merasakan senang
menjadi riang gembira.

Muram yang durja dan muka yang masam adalah cermin dari jiwa yang kacau tidak keruan, fikiran yang berkecamuk dan perangai yang buruk:

“Sesudah itu dia bermasam muka dan merengut.” (Al-Muddatstsir: 22)

Seorang penyair mengatakan:

Wajah mereka hitam legam penuh kemurungan
seolah wajah orang
yang dipaksa masuk ke dalam neraka.
Mereka itu tidak seperti orang ramah
yang pernah kau jumpai.
Pancaran raut wajah laksana bintang
yang mengiringi setiap perjalanan.

Sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam:

“Meskipun sekadar menampakkan wajah yang ceria saat kau bertemu saudaramu.”

Dalam Faidhul Khathir, Ahmad Amin berkata: “Orang yang murah dengan senyuman dalam menjalani hidup ini bukan sahaja orang yang paling mam[pu membahagiakan diri sendiri, tetapi juga orang yang berkemampuan lebih dalam mengerjakan berbagai urusan, lebih bertanggunggjawab ketika memikul tugas, orang yang paling kuat menghadapi kesulitan dan memecahkan persoalan dan lebih professional dalam memikul urusan penting yang bermanfaat bagi diri mereka dan masyarakat.

Seandainya saya disuruh memilih di antara harta yang banyak atau kedudukan yang lebih tinggidengan jiwa yang tenteram damai dan selalu tersenyum, pastilah saya memilih yang kedua. Sebabnya ialah, apa ertinya harta yang banyak bila wajah selalu muram? Apa ertinya pangkat dan kedudukan sekiranya jiwa sering cemas? Apa ertinya segala yang ada di dunia ini, bila perasaan sering bersedih seumpama orang yang baru sahaja selesai daripada menghantar jenazah kekasihnya? Apa erti kecantikan seorang isteri sekiranya sering berwajah muram dan hanya membuatkan suasana rumahtangga seperti neraka sahaja? Tentulah, seorang isteri yang tidak terlalu cantik akan menjadi seribu kali lebih baik sekiranya dia mampu menjadikan suasana rumahtangganya laksana syurga setiap saat.

Senyuman tidak akan berharga sekiranya tidak terbit dari hati yang tulus dan untuk menutupi perangai yang tidak baik. Lihatlah setiap bunga tersenyum, hutan tersenyum, sungai dan lautan, langit, bintang-bintang dan burung-burung, semuanya tersenyum. Dan manusia, sesuai dengan watak dasarnya adalah makhluk yang suka tersenyum jikalau dalam dirinya tidak menonjolkan penyakit tamak, jahat dan egoisme yang sering membuat raut wajah tampak kusut dan muram.Raut wajah seseorang adalah bisikan gambaran keadaan jiwanya. Oleh kerana itu, tidak akan tampak keindahan pada orang yang jiwanya tidak tenang dan tidak akan ada kebenaran dari orang yang hatinya kotor.

Setiap manusia melihat dunia ini sesuai dengan perbuatan, fikiran dan dorongan hidupnya. Yakni; apabila amal perbuatannya baik, fikirannya bersih dan motivasi hidupnya suci, maka dia akan melihat dunia ini bersih dan indah sebagaimana dunia ini diciptakan. Jika terjadi sebaliknya, dunia akan gelap-gelita dan dia melihat segala sesuatu terasa hitam pekat.

Dan akhirnya, terbentuklah dua sisi jiwa, pada satu sisi ada jiwa yang dapat membuat sesuatu terasa sengsara, di sisi yang lain pula ada jiwa yang mampu menciptakan sesuatu menjadi bahagia. Misalnya, terdapat seorang wanita di dalam sebuah rumah, waktunya dihabiskan dengan mencari dan mengingati kesalahan dirinya sehingga dunia pun terasa gelap. Hanya kerana sebuah piring pecah, dia marah. Hanya kerana masakan terlebih garam atau dia mendapati secarik kertas tercicir di dalam biliknya, seketika itu menjadi marah dan mengumpat. Dia menyalahkan setiap orang yang berada di rumah, seakan-akan dia percikan api yang selalu siap menyambar siapa sahaja yang ada berdekatannya.

Ada pula seorang lelaki yang acapkali membuat hidupnya dan orang-orang disekelilingnya terasa berat dan sengsara hanya dikeranakan dirinya salah dalam memahami atau mengertikan maksud perkataan orang lain. Dia juga merasa terganggu dengan kerugian yang dideritainya dan keuntungan yang tidak seperti mana yang diharapkannya atau sejenisnya. Akhirnya dunia terasa hitam kelam, kemudian dia pun menyebarkan kekelaman itu kepada orang yang berada di sekitarnya. Dan orang-orang seperti ini mempunyai kemampuan yang luar biasa dalam menyebarkan keburukan. Dia menjadikan sesuatu yang hanya sebesar biji menjadi sebesar kubah, dari sebesar benih hingga sebesar pohon. Sehingga akhirnya, dia sama sekali tidak memiliki kemampuan untuk melakukan kebaikan, tidak pula merasa gembira dengan apa yang mereka berikan walaupun banyak dan mereka tidak pernah merasa puas dan senang dengan sebanyk manapun pemberian yang pernah mereka terima.

Hidup ini adalah seni dan seni dapat dipelajari dan ditekuni. Sebaiknya manusia berusaha dan penuh kesungguhan belajar tentang bagaimana menghasilkan bunga-bunga, wewangian dan cinta sepanjang hidupnya. Itu lebih baik daripada ia terus memerah tenaga dan waktunya hanya untuk mengumpul harta di saku atau gudangnya. Bagaimanapun, apa erti kehidupan ini jika hanya bertujuan untuk mengumpulkan harta-benda dan tidak dimanfaatkan sedikit pun untuk meningkatkan kualiti kasih-sayang, cinta, keindahan dalam hidupnya.

Ramai orang yang tidak mampu melihat keindahan hidup ini. Mereka hanya membuka matanya untuk dirham atau dinar semata dan berusaha agar mereka boleh berjalan di dalam kebun yang lebat, bunga-bunga yang cantik mempersona, air jernih yang bergemericik, burung-burung yang berkicau riang. Akan tetapi, mereka tidak pernah berupaya bagaimana membuat hati mereka bahagia.mereka hanya sibuk menghitung berapa dinar yang masuk dan berapa dinar yang keluar. Wang bagi mereka adalah satu-satunya alat untuk mencapai hidup bahagia. Mereka telah memutarbalikkan keadaan dengan menjual kehidupan yang bahagia ini demi memperolehi wang. Struktur mata kita telah diciptakan Allah sedemikian rupa dan unik agar kita dapat melihat keindahan ciptaanNya. Namun, ternyata kita seringkali membiasakannya hanya untuk melihat wang dan rakus terhadap wang.

Tiada yang membuatkan jiwa dan wajah menjadi muram selain keputusasaan. Maka jika anda menginginkan senyuman, tersenyumlah terlabih dulu dan perangilah keputusasaan. Sesungguhnya kesempatan terbentang luas bagi anda dan semua manusia. Ertinya: Anda sering mempunyai kesempatan untuk meraih kejayaan dalam hidup. Oleh kerana itu, biasakan fikiran anda agar selalu optimis dan yakin akan masa depan yang lebih baik.

Sekiranya anda berkeyakinan bahawa anda adalah orang yang hanya berkemampuan untuk mengurusi perkara-perkara yang kecil, bererti kehidupan anda tidak akan melebihi perkara-perkara kecil sahaja dalam hidup ini. Tetapi sebaliknya, sekiranya anda berkeyakinan bahawa anada orang yang berkemampuan melakukan perkara-perkara yang besar, nescaya anda akan memiliki semangat dan tekad yang besar yang akan mampu menghancurkan semua aral dan rintangan. Dengan semangat itu, anda akn dapat menembus setiap tembok penghalang dan memasuki lapangan kehidupan yang sangat luas untuk suatu tujuan yang mulia. Ini dapat kita saksikan dalam banyak kenyataan hidup.

Barangsiapa yang dapat menyertai lumba lari 100 meter misalnya, dengan perasaan malas, pasti dia akan berhenti di tengah jalan. Sebaliknya, orang yang menyertai lumba lari 400 meter dengan semangat yang tinggi, maka dia tidak akan merasa letih menjalani setiap meter yang dilaluinya. Ertinya: semangat dapat mendorong seseorang mancapai tujuan yang telah ditentukan. Oleh yang demikian, tentukan tujuan anda dan tumbuhkan keyakinan diri dalam meraih sesuatu yang sukar sekalipun.

Namun demikian, anda tidak mungkin berjaya meraih cita-cita sekiranya anda sentiasa membuat perancangan baru setiap hari. Ini adalah kerana perasaan putus asa, patah semangat, sering berpandangan negative terhadap segala sesuatu, menyibukkan diri dengan mencari aib dan kesalahan orang lain, dan besar mulut hanya akan menghambat langkah, menciptakan kemuraman dan menempatkan jiwa di dalam sebuah penjara yang gelap.

Penerimaan seseorang terhadap sesuatu perkara tidaklah sama dengan penerimaannya terhadap pembimbingnya yang telah berjasa mengembangkan dan mengarahkan bakat alamiyyahnya, meluaskan cakerawala pemikirannya, menanamkan kebiasaan ramah dan murah hati dalam dirinya, mengajarkan kepadanya bahawa sebaik-baik tujuan hidup adalah berusaha menjadi sumber kebaikan bagi masyarakatnya sesuai dengan kemampuannya, mengarahkannya agar sentiasa menjadi matahari yang memancarkan cahaya, kasih-sayang dan kebaikan, dan yang telah membimbingnya agar memiliki hati yang penuh dengan rasa belas kasih, berperikemanusiaan serta merasa senang berbuat baik kepada siapa sahaja yang berhubung dengannya.

Jiwa yang sentiasa tersenyum akan melihat kesulitan dengan tenang sambil berusaha mengatasinya. Jika mereka melihat sebuah persoalan, mereka tersenyum. Mereka turut tersenyum ketika sedang berusaha mengatasi persoalan dan tetap tersenyum ketika mampu mengatasinya. Sebaliknya, jiwa yang muram akan melihat kesulitan dengan kesedihan. Setiap kali menemui kesulitan, dia akan meninggalkannya atau menbesar-besarkannya, semangatnya mulai lemah dan membuat dalih dengan kata-kata: “kalau…” “bila….” dan “jika…”.

Akhirnya, dia akan menyalahkan waktu, padahal waktu yang diumpatnya merupakan ciptaannya sendiri, yang berasal dari emosi dan kebiasaan buruknya. Dia menginginkan kejayaan di dunia ini, tetapi anehnya dia tidak mahu membayar harganya. Orang seperti ini ibarat seseorang yang hendak berjalan tetapi selalu dibayangi oleh seekor singa yang siap menerkam dirinya dari belakang. Akibatnya, dia hanya menunggu langit menurunkan emasnya atau bumi mengeluarkan kandungan harta karunnya. Kesulitan-kesulitan dalam kehidupan ini merupakan perkara yang relative (tidak mutlak). Yakni; segala sesuatu akan terasa sulit bagi jiwa yang kerdil, tapi bagi jiwa yang besar tiada istilah kesulitan baginya. Jiwa yang besar akan semakin besar kerana mampu mengatasi kesulitan-kesulitan itu. Sementara jiwa yang kecil akan semakin sakit kerana sering melarikan diri dari kesulitan itu. Sesungguhnya kesulitan itu ibarat anjing yang liar. Apabila ia melihat anda, kemudian anda ketakutan lari, tentu ia akan menyalak dan mengejar anda. Sebaliknya, bila ia memandang anda, tetapi anda berpura-pura tidak memperhatikannya dan menyorotkan pandangan mata anda kepadanya, tentu ia akan menyingkir dan merasa takut.

Penyakit yang paling mematikan jiwa adalah perasaan rendah diri. Penyakit ini boleh menghilangkan kepercayaan diri dan keyakinan seseorang terhadap kemampuannya sendiri. Oleh itu, walaupun dia berani melakukan suatu pekerjaan, dia tidak akan pernah yakin dengan kemampuan dan kejayaan dirinya. Dia juga melakukannya tanpa perhitungan yang matang, dan akhirnya gagal. Kepercayaan diri adalah merupakan sebuah anugerah yang sangat besar. Ia merupakan tiang kejayaan dalam kehidupan ini. Kepercayaan diri tidak sama dengan keangkuhan yang termasuk di dalam sikap yang tercela. Perbezaan di antara keduanya ialah keangkuhan merupakan perasaan percaya kepada kemampuan diri yang berdasarkan pada khayalan dan kesombongan belaka,sedangkan percaya diri pula adalah keyakinan akan kemampuan diri yang berdasarkan pada kemampuannya memikul tanggungjawab disertai dengan niat yang kuat dan usaha yang gigih untuk memperbaiki suatu perkara.

Iliyya Abu Madhi berkata dalam puisinya:

Dia berkata: “Langit sedih dan terlihat murung.”
Aku berkata: “Tersenyumlah! Biarkan kemurungan itu ada di langit!”
Dia berkata: “Kesamaran telah merasuk!”
Aku berkata: “Tersenyumlah! Dukacita tidak akan pernah kembali, sebab ia telah mati”
Dia berkata: “Langit di angkasa telah menyatu dengan cinta yang berkobar dalam dadaku dan telah menjadi neraka Jahannam. Dia khianati janji setelah merenggut hatiku. Lantas bagaimana aku sanggup tersenyum?”
Aku berkata: “ Tersenyumlah dan bersenanglah! Kalau kau tetap bersama kesedihan, akan kau habiskan seluruh umurmu dalam kepedihan!”
Dia berkata: “Perniagaan mendekati kerugian seperti seorang musafir yang hampir mati kehausan atau seperti singa yang haus darah. Dia meludah darah setiap kali menjulurkan lidah.”
Aku berkata: “Tersenyumlah! Kau bukanlah penyebab kesembuhannya, kecuali bila kau mahu tersenyum. Apakah ketika orang lain berbuat dosa dan tidur dengan perasaan takut, engkau merasa bahawa engkaulah pendosa itu?”
Dia berkata: “ Musuh sedang berada di sekelilingku. Mereka berteriak menakutiku. Bukanlah aku telah tertawan dan apakah musuhku tidak melihatku?”
Aku berkata: “Tersenyumlah! Cacian mereka tidak ditujukan untuk menuntutmu jika kau tidak lebih mulia dan agung daripada mereka.”
Dia berkata: “Musim telah jelas tanda-tandanya tergambar padaku di pakaian dan lukisan, sedang diriku mempunyai kewajipan terhadap kekasihku namun tidak ada satu dirham pun di kedua tapak tanganku.”
Aku berkata: “Tersenyumlah! Bukankah kau masih hidup? Kau bukanlah termasuk orang yang tidak mempunyai kekasih.”
Dia berkata: “Malam-malamku berlalu dalam kepahitan.”
Aku berkata: “Tersenyumlah! Jika kau merasa pahit, semoga orang lain melihatmu sedang bersenandung. Lemparkan kedukaan jauh-jauh dan tetaplah bersenandung. Apakah dia akan melihatmu jika engkau bernyanyi dengan limpahan dirham atau kau merasa rugi jika engkau beryanyi dengan hati berseri-seri? Wahai sahabat, janganlah sampai kesedihan membuat mulutmu terdiam dan raut mukamu menampilkan kesedihan. Tersenyumlah..! sungguh bintang-bintang pun tersenyum dan kegelapan akan saling berbenturan. Oleh kerana itu, kita menyukai bintang-bintang.”
Dia berkata: “ Keceriaan tidaklah akan membuat keadaan menjadi lebih baik. Ia datang ke dunia ini dan tetap akan pergi walau terpaksa.”
Aku berkata: “Tersenyumlah! Selagi hayat di kandung badan, selama engkau masih hidup. Sebab sudah terlalu lama engkau tidak tersenyum.”

Sesungguhnya kita sangat memerlukan kepada senyuman, wajah yang ceria, hati yang lapang, akhlak yang menawan, jiwa yang lembut dan keramahan:

“Sesungguhnya Allah telah mewahyukan kepadaku (Muhammad) agar kalian bersikap tawaduk hingga tidak ada seorang pun yang berbuat zalim terhadap orang lain dan tidak ada seorang pun yang berlaku angkuh terhadap orang lain.(Al-Hadith)”

Renungan

Jangan bersedih; kerana anda telah melalui kesedihan itu kelmarin dan ia sama sekali tidak memberi sebarang manfaat pun. Ketika anak anda gagal dalam ujian dan anda bersedih kerananya, apakah kemudiannya dia akan lulus kerana kesedihan itu? Ketika bapa anda meninggal dunia dan anda bersedih, apakah kemudiannya dia akan hidup kembali? Ketika perniagaan anda mengalami kerugian dan kemudian anda bersedih, apakah kemudiannya kerugian itu akan berubah menjadi keuntungan?

Jangan bersedih; kerana kesedihan anda terhadap sesuatu musibah, akan menciptakan berbagai musibah lainnya. Ketika anda bersedih kerana kemiskinan atau kesengsaraan yang anda alami, bukankah kesedihan itu hanya akan menguntungkan dan menambah kesusahan anda? Ketika anda bersedih kerana cercaan musuh-musuh anda, pastilah kesedihan itu hanya akan menguntungkan dan menambahkan semangat mereka untuk menyerang anda. Atau, ketika anda mencemaskan terjadinya sesuatu yang tidak anda sukai, ia akan mudah terjadi kepada anda.

Jangan bersedih; kerana kesedihan anda itu akan membuatkan rumah yang luas, isteri yang cantik, harta yang melimpah, kedudukan yang tinggi dan anak-anak yang cerdas, semuanya tidak akan terasa manfaatnya sedikit pun.

Jangan bersedih; kerana kesedihan hanya akan membuatkan air yang segar terasa pahit, dan sekuntum bunga mawar yang indah kelihatan layu, kebun yang menghijau kelihatan seperti gurun pasir yang gersang, dan kehidupan dunia terasa bagai di penjara.

Jangan bersedih; kerana anda masih memiliki dua mata, dua telinga, dua ulas bibir, dua tangan dan dua kaki, lidah dan hati, kedamaian , keamanan dan kesihatan tubuh badan.

“Maka nikmat Rabb kamu yang manakah yang kamu dustakan.” (Ar-Rahman: 13)

Jangan bersedih; kerana anda masih memiliki agama yang anda yakini kebenarannya, mempunyai rumah sebagai tempat tinggal, roti untuk dimakan, air untuk diminum, pakaian untuk dipakai, dan isteri yang anda cintai. Magapa anda harus bersedih?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...