Kesengsaraan Itu Penuh Hikmah
TweetTidak selamanya rasa sakit itu tidak berharga, sehingga harus dibenci. Kerana kemungkinan rasa sakit itu justeru akan mendatangkan kebaikan bagi seseorang.
Sesungguhnya, ketulusan sebuah doa muncul tatkala kesakitan yang perit dan ketulusan tasbih yang sentiasa terucap datang dari hati yang sakit. Begitu juga penderitaan dan bebanan yang dialami oleh seseorang pelajar untuk menuntut ilmu, yang pada akhirnya menjadikan seorang pelajar itu seorang ilmuan yang terkemuka. Demikianlah, kerana dia telah bersusah-payah di awal perjalannya, sehingga dia boleh menikmati kesenangan di akhirnya. Usaha keras seorang penyair memilih kata-kata untuk bait-bait syairnya telah menghasilkan sebuah karya sastera yang sangat menawan. Sakit hatinya telah menyentuh hati dan urat saraf serta membuat darahnya bergemuruh, kemudian gejolak jiwa itu mengarahkan pemikirannya untuk merangkai kata-kata yang indah. Usaha keras seorang penulis telah menghasilkan tulisan yang sangat menarik dan penuh dengan pengajaran, contoh-contoh dan petunjuk.
Seorang pelajar yang hidup berpoya-poya, tidak aktif, tidak pernah menghadapi masalah dan tidak pernah ditimpa musibah, kemungkinan besar dia akan menjadi orang yang malas, enggan bergerak dan mudah putus asa.
Seorang penyair tidak pernah merasa sakit hati dan pahit getirnya sebuah kehidupan, maka untaian syair-syairnya hanya akan terasa hambar dan hanya terisi dengan kumpulan kata-kata murahan yang tidak bernilai. Ini adalah kerana syair-syairnya hanya keluar dari lisannya, bukan dari perasaannya. Apa yang dia utarakan hanya terbatas kepada pemikirannya sahaja dan bukan dari hati nuraninya.
Contoh pola kehidupan yang paling baik adalah kehidupan kaum mukminin generasi awal, iaitu mereka yang hidup pada masa kerasulan, kelahiran agama ini. Mereka adalah orang-orang yang memiliki keimanan yang kukuh, hati yang terbaik, bahasa yang bersahaja dan ilmu yang luas. Semua itu mereka perolehi kerana mereka hidup dalam masa yang penuh dengan kesulitan dan penderitaan. Mereka pernah menderita kelaparan, miskin, diusir, disakiti dan rela meninggalkan semua yang dicintai, diseksa, bahkan dibunuh. Dan kerana semua itu pula mereka menjadi orang-orang pilihan, mereka menjadi tanda kesucian, panji kebajikan dan menjadi symbol pengorbanan.
“…yang demikian itu ialah kerana mereka ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah, dan tidak (pula) menginjak suatu tempat yang menbangkitkan amarah orang-orang kafir, dan tidak menimpakan suaru bencana kepada musuh, melainkan dituliskanlah bagi mereka dengan yang demikian itu suatu amal soleh. Sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat baik.” (At-Taubah: 120)
Ramai orang di dunia ini berjaya menghasilkan karya terbaik, kerana mereka pernah merasakan penderitaan. Al-Mutanabbi misalnya, dia pernah mengidap rasa demam yang amat sangat, kemudian bersenandung dengan indah:
Orang yang mengunjungiku
Seakan memendam rasa malu.
Mereka tidak mahu mengunjungiku
Kecuali dalam kegelapan.
An-Nabighah sempat diancam akan dibunuh oleh Nu’man bin Al-Mundzir sebelum akhirnya mempersembahkan bait syair berikut ini:
Kaulah matahari dan para raja adalah bintang.
Bila kau muncul
bintang pun tak akan memancarkan cahayanya.
Di dunia ini, ramai orang yang kaya kerana mereka mampu menjadikan penderitaan sebagai perantara mencapai kekayaan. Oleh kerana itu, jangan takut dengan penderitaan dan jangan khuatir dengan kesengsaraan, kerana terkadang penderitaan itu justeru memberikan kekuatan bagimu dan akan menjadi sebuah kenikmatan pada suatu hari nanti. Jika anda hidup dengan hati yang membara, terbakar dan jiwa yang bergelora kerana penderitaan, akan lebih baik dan lebih terhormat daripada hidup dengan perasaan yang dingin, semangat yang layu dan jiwa yang lemah.
“…tetapi Allah tidak menyukai keberangkatan mereka, maka Allah melemahkan keinginan mereka, dan dikatakan kepada mereka: Tinggallah kamu bersama orang-orang yang tinggal itu.” (At-Taubah: 46)
Saya teringat seorang penyair yang sentiasa hidup dalam kesengsaraan, keputusasaan dan penderitaan. Sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia sempat melantunkan sebuah puisi yang begitu menyentuh hati dan jauh dari kata-kata yang berlebihan. Dialah Malik bin Ar-Rayyib. Sambil meratap dia bersyair:
Apakah kalian melihatku
yang telah menjual kegelapan
dengan cahaya hidayah?
Aku berperang sebagai perajurit Ibnu ‘Affan.
Hanya bagi Allah ku pasrahkan permata hatiku
ketika aku meninggalkan anak dan hartaku
di sisi dua jurang.
Wahai para sahabatku
perjalanan hidupku telah mendekati maut.
Saatnya bagiku untuk tidur sepanjang malam.
Hidupku hanya tinggal hari ini
atau tersisa sebahagian malam.
Maka janganlah kalian mempercepatkan kepergianku
kerana segalanya kini sudah jelas
pembaringanku tergores hujung gigi
setaip kali ku miringkan tubuhku
sedangkan hujung kainku
selalu basah oleh air mata.
Janganlah kalian benci diriku.
Semoga Allah memberkati kalian berdua
di bumi mana pun kalian berada.
Hingga akhir suaranya yang bergetar tergambar ratapan yang pedih dan raungan kesedihan.suarnya menggambarkan betapa kepedihan itu meluap dari hati seorang penyair yang mengalami sendiri kepedihan dan kesengsaraan hidup. Ia tidak ubah seumpama penasihat yang juga pernah merasakan apa yang ia ucapkan. Dan kebiasaannya, perkataan atau nasihat orang seumpama ini akan masuk ke dalam kalbu dan meresap ke dalam roh yang paling dalam. Semua itu adalah kerana ia mengalami sendiri kehidupan pahit dan bebanan berat yang ia bicarakan.
“…maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya).” (Al-Fath: 18)
Seorang penyair mengatakan:
Jangan kau salahkan
orang merindu dengan kerinduannya
sehingga kau mampu menyelami jiwanya.
Saya telah banyak menemui syair-syair yang terasa sangat dingin, tidak hidup dan tiada mempunyai roh. Ini adalah kerana kata-kata yang terucap dalam bait-bait itu bukanlah terbit dari sebuah pengalaman peribadi seorang penyair, tetapi ianya adalah sesuatu yang dikarang dan direka-reka dalam aura kesenangan. Jadilah syair-syair yang demikian itu tidak ubahnya seperti potongan-potongan ais dan bongkahan-bongkahan tanah; dingin dan tawar.
Saya juga pernah membaca karangan-karangan yang berunsur nasihat yang sedikit pun tidak mampu menggerakkan hati orang yang mendengarkannya, bahkan masihat itu tidak bermanfaat sama sekali. Ini adalah kerana nasihat-nasihat itu tidak lahir dari mulut seseorang yang pernah mengalami dan menghayati suatu kesedihan dan kesengsaraan.
“…mereka mengatakan dengan mulutnya apa yang tidak terkandung dalam hatinya…” (Ali-‘Imran: 167)
Sekiranya anda ingin ucapan dan syair anda menyentuh hati pembacanya, maka masuklah terlebih dahulu ke dalamnya, kemudian sentuhlah, rasakanlah dan resapilah, nescaya anda akan merasakan sendiri bahawa ucapan dan syair anda tadi mampu mempengaruhi orang lain.
“…kemudian apabila telah Kami turunkan air di atasnya, hiduplah bumi itu dan suburlah dan menumbuhkan berbagai macam tumbuh-tumbuhan yang indah.” (Al-Hajj: 5)