Wahai Manusia,setelah lapar ada kenyang,setelah haus ada kepuasan,setelah berjaga malam ada tidur yang nyenyak dan setelah sakit ada kesembuhan.Setiap dari yang hilang pasti ketemu,dalam kesesatan akan datang petunjuk,dalam kesulitan ada kemudahan dan setiap kegelapan akan terang benderang.
ALLAH berfirman
"....Mudah-mudahan ALLAH akan mendatangkan kemenangan(kepada Rasulnya) atau sesuatu keputusan dari sisiNYA......" (Al-Maidah:52)
Sampaikan khabar gembira kepada malam hari bahawa sang fajar pasti datang mengusirnya dari puncak-puncak gunung dan dasar-dasar lembah.Kepada orang yang di landa kesusahan bahawa pertolongan akan datang secepat kilatan cahaya dan kerdipan mata.Kepada orang yang di tindas bahawa kelembutan dan pertolongan akan segera tiba.
Saat anda melihat hamparan padang sahara yang seolah-olah memanjang tanpa batas,ketahuilah bahawa di sebalik kejauhan itu terdapat kebun yang rimbun penuh hijau dedaunan.Ketika anda melihat seutas tali meregang kencang,ketahuilah bahawa tali itu akan segera putus.
Setiap tangisan akan berhujung dengan senyuman,ketakutan alan berakhir dengan rasa aman dan kegelisahan akan terhapus oleh kedamaian.Kobaran api tidak akan mampu membakar tubuh Nabi Ibrahim.Dan itu kerana pertolongan Ilahi yang membukakan 'jendela' yang mengalirkan
".....Kesejukan dan keselamatan....."(Al-Anbiya':69)
Lautan luas tidak kuasa menenggelamkan Kalimur-Rahman(Musa Alaihissalam).Itu tidak lain kerana suara kebenaran yang kuat berkata :
"Sekali-kali tidak akan tersusul.Sesungguhnya Rabbku besertaku,kelak Dia akan memberi petunjuk kepadaku "(As-Syuara':62)
Ketika bersembunyi apabila di kejar kaum kafir dalam sebuah gua,Nabi Muhammad SAW yang ma'sum mengkhabarkan kepada Saidina Abu Bakar bahawa ALLAH Yang Maha Tunggal dan Maha Tinggi ada bersama mereka.Sehingga rasa aman,tenteram dan tenang pun datang menyelimuti Saidina Abu Bakar.
Mereka yang terpaku pada waktu mereka yang terbatas dan pada keadaan mereka yang sangat kelam,umumnya akan merasa kesusahan,kesengsaraan dan keputusasaan dalam hidup mereka.Ini kerana mereka hanya memandang dinding-dinding bilik dan pintu-pintu rumah mereka sahaja.Padahal mereka seharusnya menembuskan pandangan sampai ke belakang tabir dan terfikir lebih jauh tentang hal-hal yang berada di luar pagar rumahnya.
Maka dari situ,janganlah anda merasa terhimpit sejengkal pun kerana setiap keadaan pasti akan berubah.Dan sebaik-baik ibadah adalah menanti setiap pertolongan dengan sabar.Betapa pun,hari demi hari akan terus berganti,tahun demi tahun akan beredar,malam demi malam pun akan silih berganti.Namun begitu,yang gahaib pasti akan terus bersembunyi,dan Sang maha Pencipta tetap berada dalam keadaan dan segala sifatNYA.Dan ALLAH mungkin akan menciptakan sesuatu yang baru setelah itu semua.Tetapi yang pasti adalah setelah segala kesulitan,kemudahan akan datang kemudian.