Penampilan yang dipamerkan memberi mesej pada pembentukan imej. Sama ada positif atau negatif pakaian yang digayakan, ia tetap memberikan mesej yang menggambarkan indah atau tidak rupa pakaian tersebut.
Tahukah anda bahawa warna sangat berperanan dalam membantu membentuk ilusi tubuh sama ada boleh mengecilkan atau membesarkan bentuk fizikal anda. Sementara kedudukan corak pada fabrik memainkan peranan dari aspek kesan & impak.
Jika anda bertubuh besar, warna gelap seharusnya menjadi pilihan untuk membangkitkan warna ilusi pada tubuh supaya tidak terlalu besar. Ini adalah kerana jika coraknya pula terlalu besar ia menguatkan lagi kesan besar pada tubuh individu yang menggayakan pakaian tersebut.
Oleh yang demikian saiz corak, kedudukan corak yang melintang atau menegak, halus atau tebal memainkan peranan yang penting dari segi kesan ilusi optikal pada tubuh seseorang itu.
Impak Warna Terang
Pada asasnya warna terang memperincikan saiz tubuh, warna gelap mengecilkan manakala warna lembut melebarkan bentuk tubuh.
Jika bertubuh besar tetapi masih menginginkan warna pakaian yang terang, jangan terlalu banyak permainan warna terang pada fabrik yang digunakan. Ia seharusnya 70% gelap manakala 30% lagi terang.
Kemungkinan warna terang boleh digayakan sebagai baju pendek bersama dengan kot atau warna ke arah warna gelap. Contohnya merah cili ditukarkan kepada warna merah hati. Jika masih mahukan juga warna terang, jangan banyak menonjolkan warna terang itu. Gayakan bersama warna gelap untuk mengurangkan kesan terik pada sipemakai.
Kini, corak pada fabrik didatangkan dengan permainan warna yang pelbagai yang diilhamkan oleh pereka2 fesyen barat yang sesuai untuk sesuatu masa atau musim tertentu. Kita sebagai orang Islam harus peka dengan corak yang berilhamkan binatang sama ada penggunaan bentuk, corak kulit atau tulang yang boleh dijadikan corak yang ketara atau pun yang berbentuk abstrak.
Wanita bertudung harus waspada dan menghindarkan diri dari terperangkap dengan corak yang sedemikian serta teliti dengan sebarang kain yang dibeli. Pastikan kita tidak mempamerkan corak yang bertentangan dengan aqidah dan imej wanita bertudung yang harus sopan dan anggun bila berpenampilan.
Selain corak dan warna, kedudukan corak juga memainkan peranan dalam melahirkan imej yang sopan. Corak bunga yang kecil dan samar-samar tidak kelihatan dengan jelas bila fabrik dijadikan baju. Tetapi bunga atau corak besar harus teliti di mana kedudukannya semasa kain ditebar ketika proses pemotongan berlaku. Kadang-kala tukang jahit kurang prihatin dan akhirnya fabrik yang indah bertukar menjadi baju yang kurang selesa dipakai kerana letak corak pada kawasan perhiasan wanita, contohnya di kawasan payudara, kawasan sulit dan pinggul.
Apabila ini terjadi mata akan memandang dan tempat ini menjadi tumpuan dan kurang sopan bagi wanita bertudung menjadi bahan menarik perhatian walaupun berbaju kurung kerana kedudukan corak di tempat yang tidak sepatutnya ia telah mengundang mata untuk melihat corak nan indah berhias di kawasan larangan wanita!
Oleh itu perhatikan kedudukan corak, dan juga sama ada saiz corak tersebut akan membesarkan lagi tubuh atau mengecilkan lagi tubuh apabila fabrik bertukar menjadi baju. Salah letak corak dari segi saiz besar dan bulat berperanan memberikan gambaran tubuh itu luar biasa besar dan mengundang tumpuan pada kawasan tubuh itu. Jangan ambil mudah saiz corak dan corak itu sendiri kerana apa jua yang kita tampilkan harus sopan dan anggun sentiasa.
kredit to Baseerah