Kringgggg! Tanda tamat sudah waktu pembelajaran, dengan disertai hilai tawa girang pelajar yang memecah kesunyian kawasan sekolah. Dengan cergas mereka berlari ke pintu pagar, mendapatkan ibu bapa yang sedia menanti. Namun dalam deretan motosikal, kereta dan bas sekolah itu turut kelihatan beberapa buah kenderaan dengan bungkusan berwarna-warni bergantungan, dan dikerumuni sekumpulan kanak-kanak berpakaian seragam. Inilah senario biasa sekitar kawasan sekolah, yang menjadi tumpuan persinggahan peniaga makanan ringan. Kedudukan makanan ringan dalam menu harian kanak-kanak kini bukan sekadar kudapan. Malah ia seolah-olah mula mengambil alih peranan makanan harian yang disediakan di rumah. Buktinya, setiap hari sekurang-kurangnya sebungkus pasti sampai ke tangananak-anak kita - sama ada dibelikan atau dibelinya sendiri.
Persoalannya, apakah faktor ‘pelaris’ kepada kesemua makanan ringan ini sehingga ia seolah-olah sudah ‘bertakhta’ di hati kanak-kanak? Apa yang dikategorikan sebagai ‘makanan ringan’ atau satu ketika dulu digelar ‘makanan kosong’ ini termasuklah keropok, gula-gula, buah-buahan jeruk, asam, minuman ringan dan sebagainya. Ia biasanya dijadikan sebagai hidangan sampingan dan boleh didapati dengan mudah di pelbagai tempat, antaranya kedai runcit, perhentian bas, panggung wayang, penjaja bergerak, dan ada yang menjangkau ke kantin-kantin sekolah.
‘Pelaris’ Daya tarikan utama makanan ringan yang berjaya menambat jiwa kanak-kanak ialah iklan. Setiap hari, siaran rancangan kegemaran, khususnya rancangan kanak-kanak seringkali diselitkan dengan iklan makanan ringan yang pelbagai. Muzik yang menarik, watak kanak-kanak comel yang riang, dan unsur-unsur jenaka yang terpapar dalam iklan menjadi ramuan yang cukup berkesan untuk memancing perhatian dan minat golongan ini. Tidak sekadar itu, tarikan makanan ringan turut terserlah pada bungkusannya sendiri. Penggunaan warna terang dengan dihiasi pelbagai watak kartun yang lucu semestinya menarik hati mereka. Ini ditambah pula dengan rasa yang enak dan manis, serta tidak menjemukan. Selain itu juga, taktik yang nyata berkesan sejak dulu hingga kini adalah pemberian hadiah percuma dalam setiap bungkusan. Hadiah yang biasanya berupa barang permainan ini menjadi kegemaran kanak-kanak sehingga adakalanya ia menjadi sebab utama bagi mereka untuk mendapatkan makanan ringan berkenaan.
Paling keterlaluan, ada juga iklan makanan ringan ini yang mengeksploitasi unsur pendidikan dan riadah sebagai pelaris barangan mereka. Misalnya ada pengeluar makanan ringan yang cuba mengaburi mata anak-anak dan ibu bapa bahawa makanan mereka berkhasiat, dan boleh dinikmati ketika melakukan aktiviti berfaedah seperti belajar dan berekreasi. Ada juga yang bertindak memberikan hadiah percuma berbentuk alat tulis comel dengan alasan mendorong minat belajar. Sedangkan realitinya, kehadiran makanan ringan ini akan menjejaskan proses pembelajaran, kerana perhatian kanak-kanak akan lebih bertumpu pada rasa makanan dan hadiah yang diberikan. Namun hakikatnya, menurut pakar pemakanan, makanan ringan sebenarnya tidak menyumbang kepada pembekalan nutrisi terhadap kanak-kanak, kerana ia tidak mengandungi sebarang zat mahupun khasiat. Malahan ia sebenarnya mendatangkan kesan negatif untuk jangka masa panjang. Ini dibuktikan dengan penggunaan mononatrium glutamate, gula, garam, bahan pewarna dan pengawet yang tinggi, yang bertujuan mengekalkan kesedapan dan kesegaran. Namun, segala bahan ini dikenalpasti sebagai agen utama kepada masalah kesihatan, seperti kanser, kerosakan gigi, obesiti (kegemukan) dan jantung berlubang. Misalnya, satu kajian yang pernah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan ke atas kanak-kanak sekolah menunjukkan 89% daripada mereka mengalami kerosakan gigi, 60% diserang penyakit gusi dan 20% lagi berada di tahap serius dan memerlukan rawatan doktor gigi. Dari aspek kewangan pula, kehadiran makanan ringan menjejaskan semangat menabung di kalangan kanak-kanak, yang akan lebih gemar menghabiskan wang persekolahan mereka untuk membeli makanan ringan.
Membisu? Keadaan ini sebenarnya telah mendapat perhatian kerajaan, khususnya Kementerian Kesihatan sejak dulu lagi, menerusi penggubalan Akta Makanan 1983, yang menegaskan agar pengeluar makanan ringan menghentikan penggunaan alat permainan, wang syiling dan benda-benda ganjil bagi menarik minat kanak-kanak. Dan sehingga kini, kerajaan akan terus menggiatkan program, terutama yang berbentuk pendidikan kepada pengguna dan pelajar tentang bahaya makanan ringan. Namun, segala usaha ini tidak mungkin berhasil, kerana peranan yang paling penting sebenarnya tergalas di bahu ibu bapa untuk mengawal pemakanan anak-anak mereka. Ini dapat dilakukan dengan mengawal perbelanjaan anak-anak, terutama pada waktu persekolahan dengan memastikan mereka membeli makanan yang benar-benar berkhasiat. Di samping itu juga, adalah satu langkah yang bijak sekiranya anak-anak dibekalkan dengan makanan yang disediakan sendiri dari rumah. Cara ini bukan sahaja selamat, malah turut menjimatkan perbelanjaan sekolah dan menggalakkan semangat menabung. Perhatian anak-anak terhadap makanan ringan ini perlu ‘dicuri’ semula, melalui penyediaan makanan berkhasiat yang disesuaikan dengan citarasa anak-anak. Makanan seperti kentang goreng, sandwich dan sebagainya bukan sahaja enak, dan digemari golongan ini, malah ia turut mengandungi zat nutrien yang diperlukan. Jelas, makanan ringan bukan saja ‘ringan’ dari aspek khasiat, malah turut menjejaskan tumbesaran anak-anak. Janganlah kita berdiam dan menutup mata membiarkan negara mewarisi generasi yang tidak sihat, kerana kesilapan kita sendiri menyuapkan mereka dengan ‘racun’ yang cuma berharga 20 sen.
Oleh: Muhammad Rudy Khairudin Mohd Nor