Tafsir Surah Al-Maidah ayat 73-75


Firman Allah yang bermaksud: "Dan jika sekiranya mereka tidak berhenti daripada apa yang mereka perkatakan." (Surah al-Maidah: 73)

Jika sekiranya mereka tidak berhenti mendakwa kononnya Allah itu satu daripada tiga unsur dan Isa al-Masih juga sebagai tuhan.

Allah berfirman yang bermaksud, "nescaya mesti akan mengenai akan orang-orang kafir di kalangan mereka, azab yang pedih." (Surah al-Maidah: 73)

Yang kafir di kalangan mereka mesti mengenai azab yang pedih. Mereka diberi amaran yang keras setelah diberi nasihat.

Memang orang Kristian dan Yahudi degil dalam masalah akidah. Apabila diajak berbincang mereka lari dan mereka tidak berani berdebat dalam masalah ketuhanan. Cuma mereka masuk ke kawasan pedalaman menyebarkan dakyah Kristian yang mana ramai di kalangan penduduk di kawasan berkenaan terdiri daripada orang jahil, miskin dan orang asli. Mereka boleh berbohong kepada masyarakat seumpama itu.

Sebaliknya mereka tidak boleh berhujah dan berdepan dengan masyarakat yang mempunyai ilmu pengetahuan. Mereka lari dan tidak berani berdepan dengan orang ramai di kawasan berkenaan. Banyak bukti dan keterangan menunjukkan bahawa mereka tidak berani berdepan dengan kebenaran.

Perkara ini berlaku termasuk di negara mereka sendiri iaitu England dan Amerika Syarikat. Paderi-paderi mereka tidak berani berhujah dengan orang Islam. Memang mereka tidak betul dalam perkara ini.

Bahkan orang Nasrani Najran yang berhujah dengan Nabi s.a.w. tidak berupaya berhujah. Apabila mereka diajak bermubahalah supaya Allah Taala menurunkan laknat ke atas siapa yang bohong. Bagaimanapun mereka menolak pelawaan itu. Bererti mereka sedar bahawa mereka tergolong di kalangan orang yang tidak benar.

Firman Allah yang bermaksud; "Apakah mereka itu tidak bertaubat kepada Allah dan memohon keampunan daripada-Nya dan Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (Surah al-Maidah: 74)

Mengapa mereka tidak mengambil peluang daripada pintu taubat yang dibuka seluas-luasnya? Mereka tidak mengambil peluang daripada keampunan dan kemurahan Allah dengan mereka bertaubat, dengan memohon supaya Allah mengampunkan dosa mereka. Mengapa mereka degil dalam kekufuran itu?

Allah Taala bertanya kepada mereka dan ayat al-Quran dibacakan kepada mereka. Ada di kalangan mereka yang faham bahasa al-Quran kerana ada yang berbangsa Arab.

Ada juga Orientalis yang mengerti bahasa dan makna isi kandungan al-Quran. Apabila diajak masuk Islam mereka menolaknya kerana mereka mendakwa bahawa Allah Taala telah cap (tutupkan) hati mereka.

Ini adalah antara perangai orang Krisitian. Seterusnya Allah berfirman yang bermaksud, "Tiadalah al-Masih Ibnu Mariam itu melainkan dia seorang rasul yang diutuskan oleh Allah. Sesungguhnya telah berlalu sebelumnya rasul-rasul yang lain." (Surah al-Maidah: 75)

Isa bin Mariam adalah seorang rasul sebagaimana rasul-rasul yang lain yang telah diwahyukan oleh Allah.

Semua rasul tidak mengaku menjadi tuhan termasuk Nabi Isa a.s. Jika seorang rasul itu tuhan maka rasul lain pun menjadi tuhan juga. Tetapi semua rasul mengakui bahawa mereka adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Begitu juga al-Masih Isa bin Mariam.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan ibunya adalah seorang yang membenarkan Allah." (Surah al-Maidah: 75)

Ibunya Mariam percayakan Allah dan janji-janji-Nya serta kurnia daripada-Nya termasuk berita yang akan datang. Dia beriman kepada-Nya.

Sehingga Mariam mengandung Nabi Isa dalam keadaan menghadapi ujian yang sangat dahsyat kerana mengandung tanpa suami.

Allah berjanji dan dia percaya kepada janji Allah. Dia tidak membunuh diri. Dia tidak memohon supaya dimatikan agar tidak menghadapi ujian yang dahsyat itu.

Mariam tetap bersabar menghadapi ujian itu. Mariam a.s. adalah seorang yang membenarkan Allah dan beriman kepada-Nya. - lanh
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...