Suburkan Cintaku
Tweet"Ya Allah, dengan izinMu,
Telah banyak yang aku lalui
Hingga pernah resah jiwa ini
Hingga pernah gelisah hati ini
Cinta dunia pernah merantai hati
Walau tidak pernah kuzahiri
Dalam sederap langkah perjalanan hidupku
Jika dulu telah Engkau izinkan
Aku merasai kehangatan kasih dalam alpa
Jika dulu Engkau benarkan
Aku menikmati rindu adam kepada hawa
Jika dulu Engkau biarkan
Aku di dalam bahagia yang sementara
Cukuplah wahai tuhanku!
Kerana di sebalik semua itu
Aku pernah kehilangan cintaMu
Pernah gersang jiwaku
Pernah tandus imanku!
Derita itu merobek ketenanganku
Hatiku yang telah retak semakin retak
Solatku tiada lagi khusyuknya
Rukukku tiada lagi ikhlasnya
Sujudku bersama fikiran yang melayang entah ke mana
Tahajjudku sudah tiada serinya
Munajatku sudah hilang air matanya!
Imanku longlai untuk berkata-kata!
Dan Ya Allah
Setelah semua itu aku lalui
Dengan penuh susah, jerih dan payah
Kugagahi jua langkah lemah ini
Berbekal harapan yang tidak pernah mati
Akhirnya kutemui cintaMu yang hakiki
Manisnya kurasai
Bahagia dan ketenangan abadi!
Bersama setiap sedutan nafas
Beriramalah tasbih, tahmid dan takbir
Hati ini bahagia dengan mengingatiMu
Hati ini derita bila melupaiMu
Engkaulah Kekasih dan cinta hatiku
Sekalipun tidak
Aku berasa kecewa kerana dikecewakan
Bahkan hati yang retak kembali pulih
Hati yang merana kembali damai
Hati yang sirna kembali menyinar!
Syukurku padaMu tuhan!
Atas segala kurniaan
Nikmat rasa cinta yang cuma sedikit padaMu ini,
Jangan Engkau lenyapkan,
Jangan Engkau kuburkan
Tapi, suburkanlah cintaku padaMu tuhan!
Biarkan hati ini
Terus mengharap, berpaut dan bergantung padaMu
Kurniakan kepadaku
Sekeping hati yang kuat
Agar ia terus hidup di dalam cahayaMu
Selamanya!