Seluar Londeh Dan Pakaian seksi Wanita


Petikan dan ulasan dari Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Di dalam Islam hak berpakaian bukanlah hak milik bebas kita semua. Sebagai hamba Allah, kita perlu memahami hidup ini sentiasa diikat dengan pelbagai jenis hak antara satu sama lain.

Hak terutama dan yang tertinggi ; adalah hak Allah SWT, samada suka atau tidak sesuatu hukum yang 'putus' seperti larangan Zina, Riba, tinggal solat, menutup aurat dan lain-lain adalah tidak boleh ditoleran oleh keadaan dan berubah mengikut peredaran zaman. Ia dinamakan hukum hakam yang bersifat 'muhkamat' atau 'Qatiyyat', tatkala itu, sebarang idea dan logik aqal manusia tidak boleh masuk campur dalam hal urusan hukum sebegini untuk mengubahnya menjadi harus dan halal.

Mudahnya, ia disebutkan di dalam hadis ini :-

Ertinya : Wahai Muadz, adakah kamu sedar dan tahu apakah hak Allah yang patut dijaga oleh hambanya, dan apa pula hak hamba yang patut dijaga oleh Allah?

Muadz menjawab : Allah dan rasulNya lebih mengetahui.

Baginda menjawab : "Sesungguhnya hak Allah yang wajib dijaga oleh hambanya adalah agar mereka sentiasa tunduk abdikan diri kepadaNya ( dengan turuti perintah dan jauhi larangannya) dan jangan ia mempersekutukanNya dengan satu apa pun.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 2701, 3/1079)

Hak kedua ; adalah hak Nabi Muhammad SAWsecara peribadi seperti berselawat ke atas baginda SAW apabila mendegar nama baginda disebut.

Terdapat juga hak baginda yang bukan peribadi tetapi atas kapasiti 'Nabi' dan 'Rasul' yang mesti diikuti manakala sebahagian lagi hanyadisunatkan sahaja.

Hak ketiga ; adalah hak pemerintah yang adil dengan cara mentaati mereka selagi mana tidak dibawa kepada kebinasaan. Sebarang penyalahgunaan hak oleh kumpulan ini, wajib dicanggahi. Sabda nabi SAW :

Ertinya : "Tiada ketaatan kepada makhluk dalam hal yang membabitkan maksiat kepada Allah, sesungguhnya taat hanyalah dalam hal yang membawa kebaikan" ( Riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmidzi, 4/209 : Tirmidzi : Hasan Sohih)

Hak keempat dan yang ke seterusnya ; adalah hak orang ramai, antaranya hak jiran tetangga, hak rakan dan saudara dan juga hak untuk tidak dicederakan, hak bersuara, hak tidak dimalukan dan tidak diganggu, hak tubuh badan dan pelbagai lagi.

Saya tidak berniat untuk mengulasnya dengan terperinci, cuma saya ingin mengaitkannya dengan hak kebebasan berpakaian.

Adakah Islam memberikan umatnya hak kebebasan berpakaian walaupun seksi sesuka hati?

"eleh, ini kan tubuh saya, suka hati saya la nak buat apa!" jeritan seorang wanita muda yang marah bila muncul isu ni.

Jawapnya, tubuh ini adalah pinjaman sahaja dan bukan hak milik kita. Jika hak milik kita, kita boleh mematikannya dan menghidupkannya semula sesuka hati kita, sama seperti kereta 'remote control' milik anak kita. Kita boleh dengan sesuka hati sahaja menggayakannya dan menggunakannya, bila habis bateri pula boleh diisi semula dan berjalan lagi dan lagi.

Sebab itu jugakita tidak dibenarkan oleh Islam dan juga undang-undang untuk menjual sepotong tangan, sebiji jantung, sebiji kepala kita kepada orang lain sesuka hati.

Tubuh yang kita miliki ini bukan demikian, ia mesti digayakan menurut kehendak pemiliknya iaitu Allah SWT. Islam memang memberikan kebebasan dalam pakaian tetapi tidak terbuka begitu sahaja, ia terikat dengan hak dan ketetapan yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya.

Justeru bagi sesiapa yang punyai iman, hak kebebasannya untuk memilih apa jua jenis pakaiannya adalah tertakluk kepada displin pakaian yang ditentukan oleh Allah dan RasulNya.

Berdasarkan hak tersebut, wanita dan lelaki yang masih ada keimanan terhadap Allah dan rasulNya serta hari kematian dan balasannya, mereka tidak boleh melanggar hak Allah ini.

Tiada pakaian seksi dibenarkan kerana ia :-

1) cabuli hak Allah ; hak Allah lebih utama dari hak kita secara peribadi sebagai manusia.

Mana logiknya? Allah yang memberikan segalanya buat kita, tiba-tiba kita ingin diberikan kebebasan ikut suka hati kita?.

Sabda nabi SAW :


Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah meletakkan had tertentu (dalam kehidupan kita), maka jangan kamu cerobohinya, dan telah menwajibkan bagi beberapa kewajiban dan jangan kamu sesekali mengabaikannya dan telah mengharamkan beberapa perkara dan jangan kamu langgarinya." ( Riwayat Al-Hakim, 4/129 : Az-Zahabi tidak memberikan komen tentang tahap hadis ini)

2) cabuli hak manusia lain ; berpakaian seksi ini juga tidak dibenarkan kerana ia melanggar hak orang lain yang sedang cuba menjaga iman dan mata mereka dari dosa-dosa.

"Jika nak seksi nampak pusat, seluar dalam, coli, dan bahagian-bahagian yang tidak sepatutnya ditayangkan, sila berpindah dari planet bumi" Jawap saya kepada sekumpulan wanita yang bertanyakan hukum kebebasan dalam pakaian.

"pastikan, planet baru itu tiada makhluk yang boleh terganggu dengan seksinya anda"

"Jika tidak, seksilah sepuasnya di depan mata suami anda, inshaAllah bermanfaat"

Saya memuji negeri Kelantan yang berusaha menjunjung hak Allah dan RasulNya sehingga mendesak mereka mengaturkan undang-undang khas pemakaian atau 'dress code', dikenakan denda bagi sesiapa yang melanggarnya. Ia amat baik kerana selain mencarik hak Allah SWT, pakaian seksi yang ditayang secara terbuka boleh menjejaskan keharmonian rumah tangga orang lain.

Suami orang terlihat lalu terganggu kasihnya kepada isterinya di rumah, pemuda dan pemudi terangsang dan dirangsang lalu porak peranda hidup mereka dengan zina dan dibuang keluarga akibat 'bunting' sebelum kahwin.

Hancur ikatan suami isteri, musnah ikatan keluarga hanya dengan pakaian 'seksi' . Manusia tidak sedar dan sering mengganggap kecil. Semua perkara yang termasuk dalam hak Allah dan RasulNya sudah pasti tidak akan hanya melibatkan perkara kecil, ia pasti memberi impak yang besar kepada ketidakstabilan hidup secara umum.

"come on ustaz, takkanlah ustaz nak salahkan pakaian semata-mata dalam hal ini, think big, ahead and more mature la ustaz" Mungkin ini akan dihenyakkan kepada saya oleh wanita peminat pakaian seksi agaknya.

Sudah tentu bukan kerana pakaian seksi itu semata-mata tetapi ia adalah pelengkap dan sebagai 'medium' menggabungkan nafsu lelaki yang tidak terkawal dengannafsu wanita yang 'gila' seksi dan juga liar. Ia juga sebagai jambatan dan 'iklan'untuk berlakunya zina, rogol dan seumpamanya. Itulah adalah pakaian seksi dan berbogel secara 'sipi-sipi'.

"Sebenarnya ustaz, bogel terus lebih kurang bahaya dari seksi" kata seorang mahasiswa kepada saya melalui sms.

Bila ditanya mengapa, ia kata "Kerana bogel terus tak 'best', tak 'suspend', terus nampak je,berbanding seksi. Nampak sikit sana, sikit sini. Sebab tu ia lebih mendebarkan jantung dan nafsu muda kami untuk melihat lebih lagi dan lagi hingga boleh jatuh buat zina dan rogol" sambung mahasiswa berdarah anak muda ini.

Satu penjelasan yang jujur pada hemat saya.

Awas, jangan sesekali kita merasa lebih pandai dari Allah dan RasulNya yang mengatur system alam ini. Kelak kita akan ke kubur jua.

Kini, sebuah negeri di Amerika mungkin semakin sedar buruknya pakaian seksi ini, cuma akibat tiada keimanan dan ilmu mencukupi, mereka hanya mula larang 'seluar londeh' sahaja buat masa ini, sedangkan baju londeh, kain londeh dan londeh-londeh yang lain masih belum dapat ditanggapi keburukannya oleh aqal manusawi mereka yang lemah.

Kerana itu, ajaran agama diperlukan. Itulah Islam satu-satunya yang diredhai Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...