Akhlak Berubah Tanda Lulus Ujian Ibadat Puasa


RAMADAN juga dinamakan bulan al-Quran kerana pada bulan ini diturunkan kitab suci al-Quran. Banyak fadilat pada Ramadan berbanding bulan lain seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Apabila tiba bulan Ramadan pintu langit dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

Ibnu Battal memberi pengertian yang dimaksudkan dengan pintu langit di sini ialah 'pintu syurga' dengan dalil saingannya 'pintu neraka'.

Ulama memberi dua aliran maksud pintu langit dibuka, pintu neraka ditutup dan syaitan dibelenggu iaitu pertama, aliran yang memberi tafsiran mengikut pengertian kata yang lahir dan kedua, aliran yang memberi tafsiran mengikut pengertian metafora atau kias tamsil daripada kata yang lahir itu.

Berdasarkan aliran pertama, maksud pembukaan pintu langit, penutup pintu neraka dan pembelenggu syaitan itu ialah maksud lahir yang disampaikan hadis iaitu pembukaan pintu syurga yang hakiki, penutup pintu neraka yang hakiki dan pembelengguan syaitan yang hakiki.

Bagi mereka, tidak ada sebab untuk dibawa kepada satu pengertian metafora selama syurga dan neraka memang mempunyai pintu dan syaitan adalah makhluk yang boleh dibelenggu. Sementara cara pembukaan, penutupan dan pembelengguan itu tidak dapat disamakan dengan cara dalam alam nyata serta kebendaan.

Dalam konteks ini, al-Qurtubi menjelaskan bahawa maksud hadis itu ialah syurga dibuka dan dihias kepada siapa yang mati pada Ramadan kerana kelebihan ibadat puasa dilaksanakan dalam bulan itu, serentak itu juga pintu neraka ditutup kepada mereka (orang-orang berpuasa).

Ia memang ganjaran istimewa dikurniakan Allah kepada mukmin yang menjalani ibadat puasa penuh keikhlasan.

Mengikut aliran kedua pula, maksud pembukaan pintu syurga itu ialah gambaran metafora betapa limpah kurniaan pahala dan keampunan Allah yang dikurniakan kepada orang berpuasa pada Ramadan.

Maksud pembelengguan syaitan ialah gambaran kemerosotan pengaruh syaitan yang menggoda manusia dalam bulan itu hingga seolah-olah mereka terbelenggu. Tetapi, jika syaitan dibelenggu pada Ramadan, mengapakah masih banyak kejahatan dan maksiat berlaku?

Jawapannya, maksud pembelengguan syaitan ialah syaitan itu dibelenggu daripada mengganggu orang yang puasa dengan penuh kejujuran, keikhlasan yang mematuhi segala syarat dan peraturannya.

Sementara itu, menurut pendapat ulama lain, walaupun syaitan dibelenggu, tidak bererti kejahatan tidak berlaku kerana kejahatan boleh berlaku dengan sebab lain daripada hasutan syaitan iaitu seperti dorongan naluri kotor, kebiasaan tidak senonoh dan godaan syaitan berupa manusia.

Ada juga pendapat maksud pembelengguan syaitan itu ialah gambaran kurangnya perlakuan kejahatan dan maksiat pada Ramadan dibandingkan bulan lain.

Al-Halimi berkata, pada Ramadan syaitan tidak dapat berleluasa menggoda orang mukmin seperti dilakukannya pada bulan lain. Ia disebabkan orang mukmin pada Ramadan bersungguh-sungguh melakukan ibadat puasa, tilawah al-Quran, bertadarus serta berzikir.

Al-Qadhi 'Iyyadh pula berpendapat, maksud pembukaan pintu syurga ialah gambaran betapa luasnya Allah mendorong mukmin melakukan ketaatan yang boleh membawa manusia ke syurga pada Ramadan.

Penutupan pintu neraka ialah betapa Allah memalingkan hemah dan kemahuan mukmin mengerjakan maksiat yang boleh menjerumuskan mereka ke dalam neraka dan Allah melemahkan syaitan daripada menggoda manusia dan mendorong nafsu keinginannya.

Hikmah penting daripada pembelengguan syaitan supaya setiap Muslim tidak punya kesempatan lagi untuk berdalih dan beralasan ia tidak dapat melakukan ketaatan pada Ramadan kerana digoda syaitan.

Ia seolah-olah memperingatkan kita syaitan sudah dibelenggu, oleh itu jangan memberi alasan dengan menyalahkan syaitan apabila cuai melakukan amalan ketaatan atau melakukan kejahatan pada Ramadan.

Apabila orang berpuasa meninggalkan segala perbuatan maksiat yang terlarang, maka puasanya itu berfungsi sebagai benteng atau perisai daripada neraka dan terbuka pintu rahmat atau syurga.

Oleh itu, ditamsilkan Ramadan dibelenggu syaitan kerana hasutan mereka tidak berguna lagi kepada orang yang berpuasa. Orang berpuasa tidak melakukan aktiviti maksiat atau derhaka kepada Allah.

Kepada orang yang berpuasa dijanjikan Allah pahala ganjaran berlipat ganda. Kegembiraan waktu berbuka dan bertemu Allah di akhirat kelak. Maka, pintu syurga ditamsilkan terbuka luas untuk menyambut kehadiran bakal penghuni syurga iaitu bagi orang yang berjaya menjalani ibadat puasa dengan sempurna dan jayanya.

Pintu syurga memang terbuka hanya untuk orang yang beriman dan bertakwa kepada Allah, tertutup untuk orang yang derhaka serta tidak beriman.

Ulama juga berpendapat, orang yang lulus ujian ibadat puasa akan dapat diketahui tandanya. Jika perangai, akhlak dan kelakuannya berubah kepada kebaikan, kebajikan dan taat perintah Allah, itulah tanda mereka lulus dalam ujian sebulan Ramadan itu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...