Dialog Bersama Syeikh Dr Muhammad Mahmud Siyam---Mantan Rektor Universiti Islam Ghaza, Palestin. HALUAN Malaysia telah menziarahi dan mengadakan dialog dengan Syeikh Dr Muhammad Mahmud Siyam, yang merupakan Mantan Rektor Universiti Islam Ghaza, Palestin. Beliau juga merupakan salah seorang daripada 5 khatib jemputan di Masjid Aqsa, Palestin. Antara yang hadir ialah Presiden HALUAN Dr. Abdullah Sudin, Setiausaha Agung HALUAN Dr. Azizan Ahmad, exco-exco HALUAN, YDP HALUAN Selangor Dr. Ahmad Makinuddin Dahlan dan para aktivis HALUAN. Ikuti dialog HALUAN bersama dengan Syeikh Dr Muhammad Mahmud Siyam. S: Pendapat Syeikh tentang bagaimana kita khususnya umat Islam di Malaysia untuk membantu rakyat Palestin bagi menyatakan sokongan kepada mereka? J: Kami merasakan bahawa umat Islam di Malaysia begitu mengambil berat permasalahan umat Islam dan membantu mereka bukan setakat permasalahan Palestin semata-mata bahkan di Iraq, Lubnan, Afghanistan, Chechnya, Kashmir, Filipina. Mereka datang atas kepentingan agama dan melihat keadaan serta menerangkan pengalaman mereka dan mengumpulkan wang bagi yang memerlukan. Kini rakyat Malaysia telah menubuhkan pelbagai institusi atau pertubuhan seperti HALUAN dan Muslim Care untuk mengumpulkan kewangan yang berterusan kepada yang memerlukan. Kami merasakan umat Islam di Malaysia mengambil berat kepada mereka yang memerlukan dan ini merupakan kaedah untuk membantu mereka mengutip sumbangan bagi membantu mereka. Kaedah berikutnya adalah menerangkan isu ini di kalangan masyarakat kerana ramai di kalangan masyarakat tidak mengetahui permasalahan sebenar berkaitan Palestin. Isunya adalah Yahudi telah merampas tanah Palestin daripada penduduknya dan mereka ini datang dari kawasan luar seperti Eropah, Afrika, Amerika, Rusia, India. Kita melihat pelbagai etnik Yahudi yang memasuki Palestin. Jadi kita hendaklah menerangkan kepada umat Islam seluruh dunia dan ini merupakan salah satu matlamat saya datang ke Malaysia selepas beberapa hari di Tehran, Iran untuk menerangkan isu ini dan menerangkan apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam terhadap saudara mereka di Palestin. Ini merupakan matlamat utama kita. Kita tidak perlu menghantar jumlah orang yang ramai dari Malaysia untuk berperang dengan Israel bahkan rakyat Palestin tidak berhajatkan kepada jumlah yang ramai kerana jumlah rakyat Palestin sudah terlalu ramai dan mencukupi. Tetapi kita berhajatkan kepada saudara Muslim kita di luar seperti Malaysia, Iran, Indonesia untuk mengetahui keadaan kita dan membantu kita melalui saluran media, saluran politik dan sebagainya. S: Berdasarkan apa yang berlaku di Palestin, adakah masalah yang berlaku ini merupakan ketentuan yang disebutkan di dalam Al-Quran atau Sunnah Nabi atau bencana daripada Allah SWT? J: Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dan memberi berita gembira kepada mereka: "Tidak akan berlaku Qiamat sehinggalah kamu memerangi Yahudi? "Akan sentiasa ada dari kalangan umatku mereka yang akan mempertahankan kebenaran? Maka rakyat Palestin merasakan mereka merupakan golongan yang disebutkan oleh Rasulullah SAW. S: Keadaan di Baitul Maqdis khususnya perancangan Yahudi yang ingin membina Ma`bad (tempat ibadat) Haikal Sulaiman seperti yang didakwa golongan Yahudi dan mereka menggali terowong di bawah kawasan Masjid Al Aqsa dalam menjayakan misi mereka ? J: Mereka (Yahudi) cuba untuk meruntuhkan Masjid Aqsa dan mendakwanya sebagai tempat ibadat mereka sedangkan pada hakikatnya tiada sebarang Ma`bad yang didakwa berada di situ. Mereka hendak mengumpulkan kaum Yahudi dari seluruh pelusuk dunia dan dalam usaha untuk menjadikan Masjid Aqsa sebagai tempat ibadat mereka lantas mereka mendakwanya sebagai Ma`bad Sulaiman A.S atau Ma`bad Daud A.S sedangkan sebenarnya mereka telah menipu. Tiada Ma`bad seperti yang didakwa. Di satu bahagian daripada masjid digunakan oleh Yahudi untuk beribadat dan di bahagian lain digunakan oleh umat Islam untuk beribadah. Dari atas bangunan Masjid Aqsa umat Islam membaling batu ke arah Polis Yahudi dan menjadikan polis-polis tersebut mengambil masa yang lama untuk pergi ke sekeliling Masjid untuk menangkap mereka. Maka mereka menggali lubang di bawah Masjid Aqsa untuk memudahkan mereka menangkap umat Islam yang membaling batu kepada puak Yahudi. Ini adalah matlamat utama lubang ini digali. Dan matlamat kedua yang jarang disebut ialah untuk menjadikan asas Masjid Aqsa lemah dan tidak stabil, dalam usaha mereka untuk meruntuhkan Masjid Aqsa. Israel akan menggerudi bawah Masjid Aqsa dengan pantas di waktu malam sahaja dan kadang-kadang usaha jahat mereka disedari oleh para pemuda Islam lalu para pemuda ini akan menghalang usaha para yahudi ini. Mereka cuba menghalang umat Islam khususnya golongan pemuda pemudi bawah 45 tahun dari memasuki Masjid Aqsa. Ini ada sebahagian daripada tekanan kepada orang Muslim di Palestin. Mereka berlagak seolah-olah Masjid Al Aqsa milik mereka dan kami tiada hak beribadah di masjid yang diberkati ini. S: Apakah sumber kekuatan yang menjadi inspirasi rakyat Palestin? J:Banyak faktor yang menjadi sumber kekuatan mereka. Pertamanya arahan daripada Allah SWT untuk memerangi mereka: "Perangilah mereka, nescaya Allah akan mengazab mereka dengan tangan-tanganmu dan Allah akan memberi kehinaan kepada mereka dan menolong kamu terhadap mereka serta melegakan hati orang-orang beriman." (9:14). Ini menjadi satu kekuatan bagi rakyat Palestin untuk melawan Israel. Keduanya adalah mempertahankan tanah suci mereka. Masjid Aqsa tidak seperti masjid yang lain kerana banyak sejarah dicatatkan di situ seperti kiblat pertama umat Islam,tempat Nabi Muhammad saw melalui peristiwa Isra` Mi`raj dan disebutkan dalam Hadis "Jangan kamu bermusafir kecuali ke 3 Masjid, Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjidil Aqsa." Ketiganya rakyat Palestin merasakan bahawa mereka tidak akan menerima penghormatan dari negara Arab dan negara Islam lain. Keempat mereka mempertahankan anak-anak, perempuan-perempuan, diri mereka dan lain-lain. S: Sejak dijajah adakah Masjid Aqsa pernah dibaiki? J: Sejak dijajah tidak dibenarkan sebarang proses penyelenggaraan terhadap masjid tersebut dan Alhamdulillah ia masih dalam keadaan baik dan kukuh lagi. S: Pengalaman Syeikh sepanjang menjadi Khatib Masjidil Aqsa. J: Khatib Jumaat di Masjid Aqsa terdiri daripada 5 orang. Kami dijemput dari luar Baitul Maqdis iaitu dari Selatan Ghaza, dari Utara Jenin dan Nablus dan dari Barat Ramallah dan Haifa` untuk menghubungkan antara Masjid Aqsa dan masyarakat seluruh daerah di Palestin. 2 orang lagi khatib dilantik dari penduduk yang tinggal berdekatan Masjid Aqsa. Setiap dari kami mempunyai giliran masing-masing. Sekiranya saya tidak mampu datang untuk menyampaikan khutbah, maka sesiapapun dari daerah lain akan datang untuk menyampaikan khutbah dan mengimamkan solat Jumaat. Apabila tentera Israel tahu giliran saya mereka akan menutup pintu Ghaza supaya saya tidak dapat datang berkhutbah di Masjid Aqsa. Apa yang kami buat ialah saya terpaksa bermusafir ke Jerusalem sehari lebih awal. Saya akan bermalam di rumah anak perempuan saya di Jerusalem. Pada pagi Jumaat tentera Yahudi akan terkejut melihat saya berkhutbah. Mereka tidak akan menghalang saya tetapi kami menggunakan sesiapa sahaja yang datang dari segenap pelusuk Palestin kerana saya merupakan Rektor Universiti Islam Ghaza dan kami mempunyai banyak bas yang membawa para pelajar kami ke Masjid Aqsa dan yang datang dari setiap daerah Palestin untuk meramaikan jumlah orang di Masjid Aqsa. Mereka tidak akan menutup setiap pintu sempadan tetapi mereka akan menutup pintu di mana khatib akan keluar ke Masjid Aqsa keesokannya. Selain itu sehari selepas saya menyampaikan khutbah iaitu pada hari Sabtu, mata-mata (pengintip) Israel akan datang bertemu saya untuk mengetahui tentang isi kandungan khutbah. Selain itu saya turut menerima tekanan dibuang daerah oleh mereka. S: Pendapat syeikh tentang perbezaan antara Hamas dan Fatah. J: Ada masalah utama antara mereka. Fatah ingin berdamai dan menerima perjanjian bersama Yahudi sedangkan Hamas ingin membebaskan Palestin dan mengembalikan hak rakyat Palestin dan mereka merasakan Yahudi merupakan perompak yang telah merampas tanah kami, maka mereka akan berbalah dengan Yahudi sehingga Yahudi meninggalkan Palestin. Jadi ia merupakan perbezaan paling besar antara Hamas dan Fatah. S: Mengapakah rakyat Palestin mengundi Hamas? J: Rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Fatah kerana apabila bantuan disalurkan dari luar, mereka (Fatah) akan mengambil sebagai hak mereka tanpa mengedarkan kepada masyarakat umum. Mereka mengambil keuntungan untuk kepentingan diri mereka bukan atas dasar kepentingan umum. Jadi apabila tiba pilihanraya maka rakyat Palestin mengundi Hamas kerana HAMAS bukan sahaja menentang dan menghalau Israel tetapi juga amat mengambil berat menjaga kebajikan, kesihatan, makan minum dan keselamatan rakyat Palestin. S: Bolehkah Hamas mencapai kemenangan ke atas Israel tanpa sokongan dari mana-mana pihak? J: Ini bergantung kepada ketentuan Allah SWT.Kita tidak mampu memberi jaminan samada menang atau tidak. Antara perkara yang kami (Hamas) tidak ambil berat dan bimbang ialah memperoleh kemenangan kerana ia daripada Allah. Kami hanya mengambil berat 1 perkara sahaja iaitu terus memerangi Israel sehingga mereka keluar dari Palestin meninggalkan kami. Sesiapa yang begitu mengambil berat tentang kemenangan maka mereka ini mempunyai kepentingan daripada kemenangan seperti kepentingan duit dan bersenang lenang dengan keluarga mereka. Yang paling penting adalah kerajaan yang berkhidmat untuk kepentingan rakyat. Jika kamu tidak berkhidmat untuk kepentingan rakyat kami akan tinggalkan kamu. Sebagai contoh, kenderaan rasmi Kabinet Fatah berharga RM 1 juta (USD 250 000) sedangkan kenderaan rasmi kabinet Hamas seperti kenderaan pada tahun 1950an. Jadi Fatah merasakan satu kerugian atas kekalahan mereka di dalam pilihanraya kerana mereka mempunyai kepentingan di atas pilihanraya tersebut sedangkan kami tidak mempunyai apa-apa kepentingan melainkan menegakkan al Haq. Walaupun kami (HAMAS) memenangi pilihanraya namun hak kami mentadbir Palestin dinafikan. Mereka menangkap dan memenjarakan menteri-menteri kabinet Hamas sedangkan ini tidak berlaku kepada pihak Fatah ketika mereka memerintah. S: Adakah berlaku peperangan saudara di antara Hamas dan Fatah? J: Kita amat takut dan bimbang untuk berperang sesama kami kerana sangat berbahaya. Mahmud Abbas, Presiden Palestin mempunya 60 ribu tentera dan Hamas mempunyai beberapa ribu tentera. Jadi jika kami berperang sesama sendiri maka akan menguntungkan pihak Israel. Maka kami cuba untuk mengelak daripada bergaduh sesama sendiri. S: Nasihat dan pesanan buat kami. J: Pertamanya membina kekuatah ukhwah. Sentiasa bekerjasama antara organisasi dan sesama muslim. Kedua berterusan memberi kesedaran kepada masyarakat Islam khususnya di Malaysia mengenai perjuangan mempertahankan bumi Al Aqsa. Terjemahan: 1. Ustaz Wan Mohd Nahar b Othman 2. Ustaz Wan Zaharuddin b Wan Ismail Al Hafiz 3. Ustaz Muhammad Muzakkir b Che Ani HALUAN mengucapkan jutaan terima kasih atas kerjasama yang diberikan oleh MuslimCare dalam menjayakan sesi dialog ini. | |