Bersama Dr Haron: Mimpi ibu derita di alam kubur
Dr Haron Din | |
SOALAN: Ibu kami baru meninggal dunia. Kami adik-beradik sering bermimpi ibu dalam kesusahan di dalam kubur. Ibu menanggung pelbagai penderitaan. Mimpi-mimpi kami hampir sama berselang hari. Ada kawan saya berkata seksa kubur tidak ada, dia pernah terbaca tulisan dalam majalah Al-Islam. Betulkan sedemikian, apa komen Dato' tentang mimpi kami dan bagaimana cara hendak mengatasinya? - WAHIDAH ABU KASSIM, Pontian JAWAPAN: Orang yang telah kembali ke rahmatullah, terserahlah kepada Allah SWT untuk membalas segala amalan-amalannya. Amalan baik pasti dibalas dengan nikmat, demikian sebaliknya. Semoga ibu anda dirahmati Allah jua. Memasuki alam kubur, adalah suatu realiti yang pasti akan ditempohi semua manusia. Di dalamnya ada balasan baik atau jahat bergantung kepada amalan-amalan insan di dunia. Seksa kubur adalah benar, sabit dengan nas-nas syarak yang tidak boleh diragukan. Antaranya Firman Allah (yang mafhumnya): "...alangkah dahsyatnya sekiraya kamu melihat sewaktu orang-orang yang zalim menghadapi seksaan sakratul maut, sedang para malaikat memukul (menyeksa) mereka dengan tangan mereka, sambil berkata (dengan menengking dan mengejek); "Keluarlah nyawa mu, pada hari ini kamu dibalas dengan azab seksa yang amat menghinakan. " (Surah al-An'aam ayat 93) Firman Allah (yang mafhumnya): "Dan sesungguhnya kami merasakan kepada mereka sebahagian azab yang dekat (segera) sebelum azab yang lebih besar (di akhirat), mudah-mudahan mereka kembali ke jalan yang benar." (Surah as-Sajdah ayat 21) Dalam Tafsir at-Tabari, juzuk 12 halaman 443, disebut dengan jelas yang bermaksud, ayat tersebut adalah merujuk kepada seksa kubur. Kenikmatan di alam kubur disebut dengan jelas sebagaimana firman Allah yang mafhumnya: "Jika sekiranya orang yang meninggal itu maqamnya hampir dengan Allah (Muqarrabin. Maka (dia akan beroleh) rehat dan kesenangan (di alam kubur) dan rahmat kesegaran serta syurga kenikmatan). " (Surah al-Waq'iah ayat 88 -89) Hadis-hadis Nabi Muhammad s.a.w. amat banyak menceritakan perihal azab kubur, antara lainnya Imam Bukhari dalam kitab dalam bab jenazah, hadis 1372, meriwayatkan hadis daripada A'ishah r.a (mafhumnya): "Beliau bertanya Rasulullah s.a.w. tentang seksa kubur. Rasulullah menjawab, Ya, seksa kubur adalah benar (haq)." Imam Muslim meriwayatkan hadis daripada Ibnu Abbas r.a, mafhumnya): "Bahawa Rasulullah s.a.w. mengajar sahabat-sahabatnya doa untuk mengelak daripada azab kubur." Hadis-hadis mengenai azab kubur, adalah sabit dan dikatakan sampai ke attawatur (tahap kesahihan yang tinggi). Semua dalil ini mengambarkan keyakinan bahawa wujudnya seksa kubur dan tidak ada ruang langsung untuk mengingkarinya. Ada pun yang rakan anda baca dalam majalah Al-Islam itu, ia adalah pendapat yang tidak berdasarkan kepada nas-nas syarak. Hal-hal yang akan berlaku, khususnya selepas seseorang itu meninggal dunia, bukan boleh dirujuk kepada fikiran atau menggunakan akal semata-mata. Ia mesti didasarkan kepada wahyu dan nas-nas yang sahih dan tidak boleh dinafikan. Khusus mengenai mimpi saudari adik-beradik, saya tidak dapat menafsirkannya kerana itu adalah mimpi. Apa pun, mimpi memang ada yang benar dan ada yang tidak. Yang benar disebut 'rukya sadiqah' dan yang tidak benar ‘adzghasu ahlaan’ atau mimpi kosong, merepek atau menggigau. Mungkin juga mimpi anda benar, oleh itu seelok-eloknya anda adik-beradik berdoa banyak-banyak kepada Allah agar merahmati ibu anda. Pohonlah agar Allah mengampunkan dosa-dosa ibu anda (jika ada) dan merahmatinya. Dalam satu hadis lain Nabi s.a.w menyebut (mafhumnya): "Ruh orang-orang yang mati itu, tergantung-gantung di antara dunia dan alam kubur atau di dalam alam kubur dengan sebab hutang-hutang yang tidak dilunas." Mungkin juga ibu anda ada hutang dengan kawan-kawan yang belum dijelas. Pernah berlaku pada zaman Rasulullah, ada sahabat yang meninggal dunia dalam keadaan menanggung hutang. Rasulullah s.a.w. enggan untuk menyembahyangkan jenazahnya sehingga anggota keluarga menjelaskan hutang-hutangnya. Hanya selepas hutang itu dilangsaikan, barulah Rasulullah s.a.w. menyembahyangkan jenazah tersebut. Semua ini menggambarkan bahawa, ada kemungkinan, isyarat yang anda terima, mungkin ada masalah tersebut, carilah puncanya dan selesaikanlah apa yang perlu. Semoga Allah merahmati ibu anda. Wallahu a'lam. |