"Pasangan suami isteri moden akan berfikir banyak kali untuk memiliki anak. Mereka belum bersedia memikul komitmen berat menjaga danmendidik anak. Jika kedua-duanya sibuk dengan kerjaya atau masih menyambung pelajaran, agaknya memang perlu mereka merancang dengan teliti, bilakah masanya mereka siap memiliki anak".
Hal ini biasa kita dengar di kalangan selebriti atau wanita karier yang terlampau sibuk masih menangguhkan tugas memikul beban berat ini.Setiap orang ada perancangannya masing-masing. Lain pula halnya dengan suami isteri yang langsung tidak merancang, hingga setiap tahun berderet-deret tentera baru dilahirkan. Alhamdulillah semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka untuk membina insan cemerlang dengan penuh kecekalan.
Persoalannya adakah ada isteri yang tak sensitif langsung dengan kesihatan sendiri, penampilan pun nampak terlalu matang (tua) kerana letih dengan kerja-kerja rumahtangga. Suami pula tiada kewangan yang cukup, hidup dalam kedaifan, anak-anak terlantar kurang ajaran dan didikan.
Jika anda ditanya, apakah harga yang paling berharga bagi anda dan suami? Tentu jawapannya ialah anak. Mungkin yang ramai anak kurang merasa nikmat dengan kebisingan yang sehari-hari didengar, pergaduhan dan kenakalan yang membuat mereka stress. Tetapi hati kita akan mudah tersentuh jika berjauhan selama beberapa hari dengan mereka. Stress itu akan hilang dengan sekelip mata melihat senyuman manis anak-anak yang tak berdosa.
Adakah anak itu punca masalah orang tua selalu hadapi?
Pernahkah anda membenci kehadiran mereka kerana selalu membawa kesusahan? Anda rasa tertekan kerana tidak dapat selalu bermesraan dengan suami, nak honeymoon berdua sahaja? Mana boleh tinggalkan mereka. Leceh juga bila bawa mereka sekali shopping ke mall. Rasa tak bebas dan susah nak bersendirian. Begitulah luahan kekecewaan wanita memiliki ramai anak.
Tapi cubalah kita berfikir positif dan bertafakur, mengapa Allah Taala memberi beban yang begitu berat untuk kita memikulnya? Jika anda kesal dengan kerenah anak-anak cubalah ingat-ingat petua jaga anak ini.
1) Dosa dihapuskan kerana sabar menerima sebarang ujian. Katakan pada diri sendiri : "Betapa banyaknya dosa aku yang dihapuskan kerana sabar merawat mereka." Suatu hari Aini mengeluh kerana tak tidur semalaman menjaga anaknya yang demam. Suaminya memujuk : "Begitulah cara Allah nak menghapuskan dosa-dosa kita." Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : "Seorang Muslim yang tertimpa kecelakaan, kemiskinan, kegundahan, kesedihan, sakit mahupun dukacita hatta akibat tertusuk duri sekalipun, nescaya Allah akan menebus dosanya dengan apa yang menimpanya itu."
2) Anak menjadi sumber pahala yang besar. Sabdanya lagi yang bermaksud : "Sesungguhnya besar pahala itu bergantung kepada besarnya ujian.Sesungguhnya jika Allah mencintai suatu kaum maka Allah akan menguji mereka. Barangsiapa yang reda maka Allah reda dan barangsiapa yang marah maka Allah juga murka kepadanya."
3) Menghadap Allah dengan keampunan dan reda-Nya. Rasullullah bersabda yang bermaksud : "Orang mukmin lelaki dan perempuan akan sentiasa menerima cubaan yang menimpa tubuh badannya, harta, mahupun anaknya sehingga dia menghadap Allah tanpa sebarang dosa."
4) Anak mendinding ibubapa dari api neraka. Saidatina Aisyah RA menceritakan : "Telah datang ke rumahku seorang perempuan miskin dan kedua anak perempuannya, tidak dapat saya berikan kepadanya selain sebiji kurma, maka saya pun memberikannya lalu dibahagi kurma itu kepada dua anaknya dan dia sendiri tidak makan apa-apa, kemudian mereka pergi. Rasulullah SAW datang, aku menceritakan tentang hal itu maka baginda SAW bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang diuji dengan anak-anak perempuan lalu mengasuh dan mendidik mereka dengan sebaik-baiknya maka ia akan menjadi pendinding baginya dari api neraka." Menurut riwayat lain yang bermaksud : "Sesungguhnya Allah telah menentukan baginya syurga dan Allah telah memerdekakannya dari api neraka dengan sebab kedua anak itu." Mendidik anak lelaki juga sama ganjarannya.
Yang terakhir sekali, anda mesti yakin bahawa anak boleh berfungsi sebagai pengikat kasih suami kepada diri anda. Nak suami bertambah sayang? Buktikan anda boleh memberinya permata-permata yang soleh.Kadang-kadang anak boleh dijadikan umpan untuk menarik simpati suami kepada diri anda. Contohnya bila suami out-station anda akan mengadu anak-anak rindu, padahal emaknya yang terlalu rindu. Ada yang menggunakan anak untuk hasratnya sendiri, nak bercuti atau membeli barang, alasannya untuk anak, tetapi hakikatnya…. Begitula h nikmatnya memiliki permata hati, walaupun susah menjaga mereka namun disitulah letaknya kepuasan hati.
Bersyukurlah atas segala kurnia yang kita miliki, sabar menjaga mereka sambil menikmati kasihsayang suami. Kepada isteri yang menunggu detik-detik kelahiran, sesungguhnya saat yang paling menyentuh emosi suami anda ialah ketika dia melalui keperitan itu dengan darah dan airmata anda. Kerana anda begitu berharga bagi dirinya dan anak-anak.