Solat, Ubat Mujarab Pengusir Kesedihan
TweetFirman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam surah Al-Baqarah, ayat 153:
“ Wahai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat….”
Apabila ketakutan meliputi anda, kesedihan menghimpit anda, dan kerisauan mencekik anda, maka bersegeralah anda mendirikan solat, nescaya jiwa anda kembali tenteram dan tenang! Sesungguhnya solat itu – atas izin Allah- boleh menjaga anda dengan menghilangkan kesedihan dan kerisauan yang menghimpit anda selama ini.
Ketika Rasulullah Shallallahuhu’alaihi wasallam dirundung masalah, baginda bersabda kepada Bilal bin Rabbah Radhiyallahu’anhu:
“Wahai Bilal, aku dapat merasa tenang dengan solat.” (Al-Hadith)
Begitulah, solat benar-benar merupakan penyejuk hati dan sumber kebahagiaan bagi Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam.
Saya telah banyak membaca sejarah hidup beberapa orang tokoh kita. Dan umumnya, apabila saat mereka dihimpit dengan persoalan hidup dan menghadapi banyak dugaan, maka mereka segera memohon pertolongan Allah dengan mendirikan solat dengan khusyu’. Begitulah cara mereka mencari jalan keluar, sehinggalah kekuatan, semangat dan tekad hidup mereka pun pulih kembali.
Solat khauf dilaksanakan pada saat-saat genting, yakni saat kematian terjadi di mana-mana dan banyak nyawa melayang akibat peperangan. Apabila keadaan semakin memburuk, maka solat akan memperbaikinya. Ini merupakan isyarat bahawa sebaik-baik penenang jiwa dan ketenteraman hati adalah solat yang khusyu’.
Setiap generasi umat manusia yang sedang menderita berbagai penyakit kejiwaan saat ini, hendaklah sering mengunjungi masjid dan menghamparkan keningnya di atas lantai tempat sujud dalam rangka meraih keredhaan dari Ilahi. Dengan melakukan sedemikian, nescaya ia akan selamat dari pelbagai himpitan hidup. Jika tidak, tangisannya tentu akan membakar kelopak matanya dan kesedihan akan menghancurkan urat sarafnya.maka jelaslah bahawa seseorang itu tidak memiliki sebarang kekuatan pun untuk meraih ketenangan dan ketenteraman hati selain dengam mendirikan solat.
Salah satu daripada nikmat Allah yang paling besar-jika kita mahu berfikir-ialah pelaksanaan solat wajib lima waktu dalam sehari-semalam, yang merupakan sebagai penghapus dosa-dosa dan pengangkat darjat kita di sisi Tuhan. Di samping itu, solat lima waktu juga merupakan ubat yang paling mujarab untuk mengubati pelbagai kesedihan dan berbagai macam penyakit yang kita deritai. Betapapun, solat mampu meniupkan ketulusan iman dan kejernihan iman ke dalam relung hati, sehingga hati redha dengan apa jua ketentuan Allah.
Adapun mereka yang menjauhi masjid dan meninggalkan solat, maka mereka hanya akan beralih dari kesusahan yang satu ke kesusahan yang lain, dari goncangan jiwa yang satu ke goncangan jiwa yang lain, dan dari kesengsaraan yang satu ke sengsaraan yang lain..
“…maka kecelakaanlah bagi mereka dan Allah menghapus amal-amal mereka” (Muhammad : 8)